Portal The Malaysia Post diperli tak kenal PM


  • Tular
  • Rabu, 16 Feb 2022

TANGKAP layar ciapan The Malaysia Post berhubung lawatan Perdana Menteri ke Brunei. — Twitter

PORTAL The Malaysia Post dihujani komen pedas daripada netizen selepas terdapat kesalahan nama pada ciapan kunjungan Perdana Menteri ke Brunei di Twitter portal itu, @PostMalaysia.

Portal tersebut merujuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin yang mengadakan lawatan rasmi ke Bandar Seri Begawan bermula 14 hingga 15 Februari lalu.

"Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiba di lapangan terbang Antarabangsa Brunei dan disambut oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei," ciap portal tersebut pada pukul 7 malam, Selasa.

Setakat pukul 4 petang Rabu, ciapan tersebut masih tidak dibetulkan malah ia turut disertakan tanda pagar #PM dan #MuhyiddinYassin.

"Lepas post terus tidur ke macam mana?" tulis pengguna Twitter @tphdg1 sebagai ciapan balas kepada twit tersebut.

Pengguna Twitter lain, @DurianPutera menulis, "Tak boleh move on lagi ke? Sayang sangat kat Muhyiddin ni."

ss mp

TANGKAP layar komen netizen terhadap kesalahan ciapan The Malaysia Post. — Twitter

Sementara itu, @muhd_azn pula berkata, "Nampaknya ada yang tak kenal PM sendiri."

Pengguna Twitter, @aragonpmv36 pula memerli admin akaun Twitter itu dengan menulis, "Admin budak praktikal? Rindu Abah?".

Ciapan itu berkongsikan rakaman video sambutan yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Ismail Sabri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang menaiki pesawat dari Kuala Lumpur, disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan Pengiran Anak Puteri Masna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram