
HAMPIR 40 petani di Tanah Kelompok Belia Kampung Telaga Papan di Setiu, Terengganu terpaksa menanggung kerugian keseluruhan bernilai RM910,000, apabila tanaman tembikai yang diusahakan mereka di atas tanah berkeluasan 91 hektar, musnah akibat banjir pada Sabtu (12 Februari 2022).
Seorang petani, Abdullah Abdul Ghani, 53, berkata, hujan lebat sejak Jumaat (11 Februari 2022) menenggelamkan 9,000 pokok tembikainya yang sudah mula berbuah di atas tanah seluas empat hektar.
Katanya, beliau terpaksa berputih mata apabila kehilangan modal sebanyak RM30,000 selain potensi menjana pendapatan sekitar RM100,000.
"Pendapatan itu yang saya rancang untuk digunakan sebagai pusingan modal, untuk bayar gaji 16 pekerja saya, perbelanjaan keluarga dan persiapan menyambut bulan puasa serta hari raya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Telaga Papan, di Setiu Terengganu pada Rabu.
Abdullah berkata, kejadian banjir di kawasan tersebut adalah kali pertama dialaminya sejak beliau mengusahakan tanaman tembikai di situ 10 tahun lepas.
Ibu kepada lima anak, Siti Maryam Awang, 47, berkata, beliau bagaikan jatuh terduduk apabila melihat 3,000 pokok tembikainya di atas tanah seluas 1.2 hektar musnah, apatah lagi beliau telah meminjam RM8,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia untuk dibuat modal, selain mengeluarkan simpanan sendiri.
"Ingatkan bolehlah raih pendapatan sekitar RM40,000 apabila dijual nanti. Memanglah sedih tetapi saya harus reda dan kuat kerana saya bekerja seorang untuk menyara keluarga setelah suami (Aziz Ibrahim, 50) diserang strok tiga tahun lepas,” katanya yang pertama kali mencuba menanam tembikai.
Selain itu, seorang petani muda, Shahril Hafizi Shafie, 33, yang mengerjakan 2.8 hektar tanah, berkata, beliau hanya boleh menanam semula tembikai pada bulan depan iaitu selepas kerja-kerja pembersihan selesai.
"Selalunya kita tanam tembikai dua kali setahun. Sejak 10 tahun kebelakangan ini masuk sahaja bulan Januari cuaca akan panas, sebab itu petani di sini mula menanam untuk beroleh hasil sebelum bulan puasa nanti.
"Tetapi tidak sangka pula Jumaat lepas hujan lebat sehingga banjir. Tembikai ini telah 20 hari ditanam dan kebanyakannya telah berputik,” katanya yang mengalami kerugian berjumlah RM20,000.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telaga Papan, Bistaman Ariffin berkata, selain hujan lebat berterusan, masalah perparitan yang tidak sempurna dan sempit merupakan antara punca banjir berlaku di kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya, masalah tersebut telah dilaporkan kepada pihak berwajib termasuk pegawai daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Setiu, supaya tindakan lanjut dapat segera diambil.
"Pada Sabtu lepas ada kakitangan JPS datang meninjau parit yang terletak kira-kira dua kilometer dari sini (kawasan penanaman tembikai).
"Jadi saya harap pihak JPS akan segera besarkan parit tersebut supaya kejadian banjir di sini tidak berulang lagi,” katanya.
Menurut Bistaman, beliau juga akan meminta anak buahnya yang mengalami kerugian supaya segera membuat laporan kepada pihak yang berkenaan, bagi memudahkan permohonan bantuan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram