Majoriti kes AEFI tidak serius — NPRA


  • Primer
  • Rabu, 16 Feb 2022

SEJUMLAH 79,393 dos vaksin telah diberikan bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun di bawah PICKids sehingga 11 Februari lalu. — Bernama

SEBANYAK 93 peratus kes melibatkan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) vaksin Covid-19 yang dilaporkan adalah tidak serius, menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani dalam satu kenyataan berkata, Sistem Pelaporan AEFI NPRA menerima 24,990 laporan AEFI termasuk 1,104 laporan melibatkan dos penggalak vaksin Covid-19 dan lapan laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak lima hingga bawah 11 tahun.

"Daripada jumlah keseluruhan ini, terdapat 1,747 laporan dikategorikan sebagai AEFI serius bersamaan kadar 27 laporan bagi setiap sejuta dos," katanya.

Jelasnya, demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan adalah antara kesan advers paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin dan kesan tersebut biasanya pulih dalam masa satu atau dua hari.

Tambah beliau, penerima vaksin yang mengalami sebarang kesan advers serius atau berpanjangan, hendaklah segera merujuk ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan dan penyiasatan lanjut dijalankan.

"Kesan advers serius adalah kesan yang memerlukan kemasukan ke hospital, pemanjangan tempoh di wad, mengancam nyawa, atau disyaki menyebabkan kematian," katanya.

Dalam pada itu, Dr Roshayati berkata, NPRA turut memantau rapat beberapa risiko keselamatan vaksin Covid-19 yang dikenal pasti atau Adverse Event of Special Interest (AESI) dalam kalangan penerima vaksin di Malaysia ekoran isu keselamatan vaksin Covid-19 di peringkat global.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari 2021 dan sehingga 11 Februari tahun ini, sebanyak 64,697,715 dos vaksin Covid-19 telah diberikan melibatkan jenama Comirnaty (Pfizer) CoronaVac (Sinovac), AstraZeneca (AZ), Convidecia (CanSino) dan Covilo (Sinopharm).

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau PICK-B bermula 13 Oktober 2021, dan sebanyak 13,000,984 dos penggalak telah diberikan sehingga 11 Februari lalu.

Sejumlah 79,393 dos vaksin telah diberikan bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) sehingga 11 Februari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram