KERAJAAN komited menangani isu buruh paksa di Malaysia dengan memastikan amalan yang tidak sihat diatasi menerusi penguatkuasaan undang-undang berkaitan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pindaan Akta Kerja 1955 yang akan dibaca kali kedua di Parlimen bulan depan merupakan antara langkah yang diambil bagi tujuan itu.
"Kita sentiasa komited untuk mengatasi amalan tidak sihat termasuk buruh paksa di negara ini yang dibangkitkan menjadi satu isu di peringkat antarabangsa. Kita komited untuk memperbaiki (sebarang kelemahan) kalau ada.
"Sebenarnya ada sedikit (masalah) teknikal sahaja. Pekerja yang dikatakan buruh paksa ini sebenarnya datang dengan keluarga mereka dan membawa anak di bawah umur membantu bekerja di sektor tertentu, jadi kita perlu pastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Beliau diminta mengulas langkah kerajaan dalam menangani isu buruh paksa di Malaysia yang dibangkitkan di peringkat antarabangsa.
Awang juga berkata, dakwaan buruh paksa di Malaysia tidak begitu serius ketika ini susulan keputusan kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja asing apabila pandemik Covid-19 melanda negara.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan beberapa sektor khususnya perladangan dan pembantu rumah mengalami kekurangan tenaga kerja yang sangat kritikal.
"Bila pandemik, buruh pun tidak ada. Semua sektor membuat permintaan untuk tenaga kerja terutama perladangan dan pembantu rumah. Kita sekarang tengah selesaikan isu ini dengan Indonesia dan Bangladesh,” katanya.
Terdahulu, Awang merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil Program EmpowerNCER anjuran Yayasan Petronas dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang turut dihadiri Pengarah Modal Insan NCIA, Shahdee Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram