PRN Melaka: Mahkamah tolak bantahan awal SPR


MOHAMAD Ali (tengah) dan Mohd Hafarizam ketika berada di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat. — Sinar Harian

MAHKAMAH Pilihan Raya pada Jumaat menolak bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November tahun lalu.

Hakim, Datuk Azman Abdullah memutuskan, kes itu wajar dibicarakan demi kepentingan awam.

Peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohamad Ali memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 24 Mac hingga 31 April ini untuk mendengar petisyen pilhan raya tersebut.

"Sebagai pempetisyen, pihak kami menyediakan lebih 30 orang saksi, responden kedua dan ketiga akan membawa lima orang saksi manakala tiga saksi dari responden pertama," katanya selepas prosiding itu di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka.

Pada 14 Disember lalu, Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen itu bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef Yusof, 35, atas dakwaan terdapat unsur rasuah pada PRN di kawasan tersebut.

Beliau menamakan Dr Mohd Aleef, yang menang dengan majoriti 530 undi dalam pertembungan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang dan SPR sebagai responden pertama hingga ketiga.

Ketiga-tiga responden kemudiannya mengemukakan bantahan awal terhadap petisyen pilhan raya itu.

Dalam petisyennya, Mohamad Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu memohon perintah mahkamah supaya kemenangan Dr Mohd Aleef itu dibatalkan dan pilihan raya kecil diadakan di kerusi Sungai Udang.

Petisyen itu difailkan atas beberapa alasan termasuk wujudnya unsur rasuah dan pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram