Permintaan tinggi tapi stok kurang, harga kit ujian Covid-19 melambung


  • Massa
  • Khamis, 10 Feb 2022

PERAYAAN serta peningkatan kes sejak kebelakangan ini menyebabkan permintaan terhadap kit ujian kendiri meningkat. - Gambar The Star

KEKURANGAN bekalan serta permintaan yang meningkat secara mendadak sejak perayaan Tahun Baharu Cina menyebabkan harga jualan kit ujian Covid-19 meningkat di beberapa kawasan.

Pengurus Lee Pharmacy Pelabuhan Klang, Nelly Teoh berkata, kenaikan harga adalah sekitar 50 sen ke RM1 setiap set untuk kit dengan jenama popular.

“Pada masa ini, kit yang paling popular ialah jenis lolipop, yang mana perlu diletakkan di bawah lidah untuk mengesan jangkitan,” kata Teoh, sambil menambah bahawa kit itu digunakan oleh mereka yang menghadiri perhimpunan Tahun Baharu Cina dan di sekolah untuk menguji pelajar dan guru.

“Sekolah giat menjalankan ujian selepas dibuka semula. Sesetengah sekolah lebih suka jenama tertentu dan disebabkan itu, jenama itu menghadapi kekurangan,” kata Teoh.

Penyelia Farmasi Sree Sentosa, K. Kavitha berkata, ramai ibu bapa menyediakan stok kit ujian untuk menguji anak mereka sebelum menghantar ke sekolah.

Ahli farmasi CL Lam, yang memiliki sebuah farmasi dekat Bukit Tinggi, Klang, berkata kit ujian Covid-19 terjual dengan begitu pantas.

"Orang ramai rasa selamat apabila kit ujian diri menunjukkan keputusan negatif dan itulah sebabnya jualan meningkat selepas perayaan baru-baru ini," katanya, sambil menambah bahawa sesetengah individu mungkin menjalankan ujian beberapa kali ke atas diri mereka sendiri.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, selain perayaan baru-baru ini, permintaan tinggi kit ujian diri disebabkan peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini.

"Peningkatan kes varian Omicron yang mudah berjangkit mewujudkan permintaan yang tinggi untuk kit ujian," kata Amrahi.

Tambahnya pembukaan semula sekolah juga menyebabkan permintaan untuk kit ujian melonjak.

Lebih memburukkan keadaan, masalah logistik akibat cuti perayaan baru-baru ini antara punca kekurangan bekalan.

"Kami fikir isu logistik ini akan diselesaikan minggu ini," kata Amrahi, sambil menambah permintaan dan bekalan kit ujian Covid-19 terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kekurangan alat ujian Covid-19 juga dilaporkan di Sabah.

Bev Joeman berkata, dia mengunjungi kedai dan farmasi di sekitar Damai dan Foh Sang dekat Kota Kinabalu, tetapi tidak dapat membeli satu pun kit ujian.

"Keluarga kami ada sembilan orang dan amat memerlukannya kerana sesetengah daripada kami mula mengalami demam ringan dan batuk manakala beberapa orang lagi mempunyai kontak kasual dengan saudara yang positif Covid-19," katanya sambil menambah bahawa dia hanya berjaya dapatkan lima kit ujian kendiri selepas pergi ke beberapa buah kedai.

"Kes semakin meningkat dan kit ini kehabisan stok, jadi kami agak bimbang," tambah Joeman.

Claudius Chan menulis di laman Facebook bahawa dia juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan kit ujian di kampung halamannya di Beaufort, manakala Zura Wong dari Papar berkata, banyak kedai di kawasannya menghadapi masalah yang sama.

Di Tuaran, notis diletakkan untuk memaklumkan kepada pelanggan bahawa kit ujian sudah kehabisan stok. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram