SERAMAI dua lelaki dan dua wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan sijil cuti sakit palsu sekitar Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asistan Komisioner Azman Ali berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kaloi 17/17 Seksyen 17, Shah Alam, polis turut merampas sejumlah dokumen sijil cuti sakit palsu yang siap dicetak dan juga peralatan untuk membuat serta mencetak sijil cuti sakit.
"Antara yang dirampas ialah 62 keping sijil cuti sakit palsu, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu set komputer, satu mesin cetak dan dua keping kad ATM,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, suspek yang berusia 22 hingga 35 tahun itu ditahan reman sehingga 11 Februari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperdaya dengan mengemukakan dokumen yang palsu sebagai sah.
"Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram