KPDNHEP, MAFI cari penyelesaian bekalan telur ayam kurang


  • Primer
  • Selasa, 08 Feb 2022

RAKYAT Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari atau 930 juta sebulan di seluruh negara. — The Star

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan telur ayam yang didakwa akan berlarutan sehingga Ramadan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kekurangan bekalan telur dan inisiatif bagi menyelesaikan isu itu dilakukan bersama MAFI dalam memastikan semua pihak tidak terbeban.

"Isu ini di bawah pemerhatian kementerian kerana beberapa bulan lagi akan tiba Ramadan, sudah tentu pembekal dan peniaga kuih raya seumpamanya memerlukan bekalan telur.

"Perkara ini melibatkan harga dan bekalan, jadi dua aspek ini dibincangkan secara terperinci. Kalau harga stabil, tapi bekalan tidak ada pun akan jadi masalah," katanya pada sidang media selepas merasmikan stesen minyak 5 Petrol Batu Balai, dekat Jerantut, Pahang pada Selasa.

Terdahulu, media pada Isnin melaporkan, Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM) menjangka masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran berlarutan sehingga Ramadan, yang didakwa berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran di pihak penternak.

Mengikut data, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari atau 930 juta sebulan di seluruh negara.

Selain itu, Rosol memaklumkan, 2,410 pemeriksaan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam dilaksanakan di seluruh negara bermula Sabtu lepas hingga Isnin, membabitkan 48 pemborong dan 2,362 peruncit.

Sementara itu, Lim ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka 100 stesen minyak di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang 2023.

Katanya, sehingga kini, 42 rangkaian stesen minyak jenama itu telah beroperasi dan kira-kira 15 stesen baharu lagi akan dibuka pada April ini.

"Kami akan berusaha untuk mencapai sasaran tersebut malah Five Petroleum Malaysia telah menerima lebih 200 permohonan untuk menyertai perniagaan stesen minyak menerusi jenama 5 Petrol ini," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

telur ayam, MAFI, KPDNHEP, stesen minyak, Ramadan