KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO Kumpulan) Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik), Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia), Februari lepas.
Mohd Abdul Karim, 56, yang juga Pengarah Urusan Serba Dinamik mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan, Mohd Abdul Karim selaku pengarah syarikat tersebut didakwa dengan niat untuk menipu mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal Serba Dinamik yang terkandung dalam laporan suku tahunan syarikat bagi suku kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan di ibu negara pada 26 Februari lalu mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Zul’aida Zulkifli tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira faktor tertuduh sepatutnya dituduh di mahkamah atas kesalahan sama bersama tiga pegawai Serba Dinamik yang lain pada Selasa, namun dia tidak hadir.
"Berikutan itu, waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh semalam (Selasa). Namun, sekiranya jaminan akan ditawarkan mengikut budi bicara mahkamah, pihak kami menawarkan jumlah RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan dan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti secara berkala sehingga kes selesai,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya bukan mahu melarikan diri tetapi diberikan notis terlalu singkat untuk hadir ke mahkamah pada Selasa.
"Anak guam saya memerlukan sedikit masa untuk berunding dengan pihak kami (peguam). Waran tangkap telah dikeluarkan semalam (Selasa) tetapi pada hari ini (Rabu) anak guam saya hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan ke atasnya,” kata beliau.
Sabariah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti secara berkala sehingga kes selesai serta menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes itu.
"Pasport tidak perlu diserahkan kepada mahkamah, tetapi dengan peringatan keras tertuduh wajib hadir ke mahkamah pada setiap tarikh ditetapkan atau jaminan akan dibatalkan,” katanya yang turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi masa yang ditetapkan mahkamah.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan syarikat sama, Muhammad Hafiz Othman, 37, pada Rabu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan rekod perakaunan Serba Dinamik.
Muhammad Hafiz didakwa menyebabkan buku-buku berhubung urusan perbadanan Serba Dinamik dipalsukan iaitu rekod perakaunan anak syarikatnya, Serba Dinamik Sdn Bhd, dengan mengarahkan penyediaan dokumen palsu berkaitan jualan syarikat (Serba Dinamik).
Maklumat dalam dokumen palsu tersebut telah direkodkan dalam rekod perakaunan Serba Dinamik Sdn Bhd di Menara Serba Dinamik, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor antara 1 Januari 2020 dan 26 Februari 2021.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 368(1)(b)(i) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 368(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan Muhammad Hafiz diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin serta menetapkan 26 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Izuddin Mohamad dan Newton Tham manakala tertuduh diwakili peguam Mak Lin Kum serta Syed Amir Syakib Arsalan.
Pada Selasa, di dua Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, syarikat Serba Dinamik yang diwakili Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Abu Bakar Uzir, 43, dan tiga pegawai kanan iaitu Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41, Pengawal Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, 39, dan Muhammad Hafiz masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia, Februari lepas. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram