PRN Johor: Integriti, kredibiliti tidak diragui kriteria calon PN — Wan Saiful


  • Politik
  • Jumaat, 04 Feb 2022

WAN Saiful (tiga dari kiri) menyerahkan bendera PN kepada Ketua Bahagian Sembrong Bersatu, Daud Yusof (tiga dari kanan) pada program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Jalan Abdul Rahman, Kluang, malam Khamis. — Bernama

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dipilih berdasarkan integriti dan kredibiliti yang tidak diragui serta mewakili pelbagai golongan, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, PN bakal meletakkan calon daripada golongan belia, wanita dan ahli parti gabungan itu yang berpengalaman serta pemimpin dikenali.

"Kami gabungkan dan adunkan calon-calon ini supaya dapat menjadi ‘tarikan’ kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Sri Lukut, Kluang, Johor malam Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, bagaimanapun senarai calon masih dalam perbincangan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.

"Tentang bilangan calon, kami terima cadangan daripada pemuda, wanita dan bahagian-bahagian PN. Semua ini dipertimbangkan dan kami pastikan yang dipilih adalah terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat Johor,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi PRN Johor, beliau berkata, semua jentera PN sudah bersedia untuk bergerak membantu bakal calon dalam berkempen.

PRN Johor bakal diadakan tidak lama lagi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 22 Januari lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan pada 9 Februari ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN, Johor, PN, Bersatu, calon, Wan Saiful Wan Jan