
PELAN Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang diperkenalkan empat tahun lepas, akan dinilai keberkesanan pelaksanaannya dari pelbagai sudut, kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.
Beliau berkata, untuk itu, GIACC sedang mengumpulkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi menilai keberkesanan pelaksanaan pelan tersebut.
"Kita hendak bergerak ke hadapan, dalam setahun lagi kita akan memasuki tahun kelima iaitu tempoh penuh pusingan pertama NACP.
"Jadi, kita hendak menilai balik keberkesanan agenda pelan ini, bagaimana kita hendak ke hadapan, sama ada menambah baik agenda-agenda yang telah digariskan sebelum ini atau bagaimana," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan GIACC pada Jumaat.
NACP 2019-2023 adalah pelan lima tahun kerajaan yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional 2004, dengan menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah menerusi pelaksanaan 115 inisiatif.
Ia merupakan pelan pertama seumpamanya yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.
Mohd Sallehhuddin berkata, NACP 2019-2023 merupakan satu "dokumen hidup” yang diperkenalkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan memberi penekanan kepada usaha memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.
Mengambil kira pelbagai perkembangan kebelakangan ini termasuk dapatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 mengenai kedudukan Malaysia, beliau berkata, sudah sampai masanya untuk melihat keperluan menilai pelan sedia ada itu.
"Kita akan mendapatkan pandangan dan input pelbagai pihak bagi memantapkan agenda serta visi NACP," katanya.
CPI 2021 yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M) menunjukkan Malaysia jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding tangga 57 pada 2020 dan tangga 51 pada 2019, manakala skor yang dicatatkan negara turun kepada 48 berbanding 51 pada 2020 dan 53 pada 2019.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram