'Pertimbangkan semula caj RM1 pengeluaran ATM Meps'


  • Massa
  • Khamis, 03 Feb 2022

MEDIA sebelum ini melaporkan, caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran ATM dikuat kuasa semula kepada pelanggan mulai 1 Februari 2022.  — Gambar hiasan/The Star

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk mempertimbangkan semula penguatkuasaan caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang tunai antara bank (Meps) di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata, tindakan yang dikuatkuasakan pada 1 Februari 2021 itu dilihat sebagai sikap yang tidak prihatin kepada keadaan semasa rakyat yang masih bergelut.

HANTARAN Asyraf Wajdi pada Khamis

"Sekarang ini rakyat masih bergelut dengan kekurangan tunai dan peluang pekerjaan yang rendah serta harga barangan keperluan asas yang berterusan mencanak naik.

"Malahan tinjuan ekonomi bagi tahun 2022 juga menjangkakan prospek pemulihan ekonomi yang lembab bakal meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat," katanya.

Selain itu, Asyraf Wajdi juga menyentuh perihal moratarium pinjaman bank yang sudah berakhir pada 31 Januari 2022 dan sehingga kini juga rakyat masih menuntut RM10,000 wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) one-off mereka.

"Sudahlah moratorium pinjaman bank mulai berakhir, manakala sehingga hari ini #TuntutanRakyat untuk pengeluaran kali terakhir RM10,000 wang simpanan KWSP mereka juga masih dipandang sepi oleh kerajaan,” katanya pada Khamis.

Dalam pada itu, dia juga mencadangkan untuk pihak Kerajaan meneruskan pengecualian caj RM1 itu untuk tempoh setahun lagi.

Media sebelum ini melaporkan, mulai 1 Februari 2022, caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran ATM dikuat kuasa semula kepada pelanggan.

Beberapa bank antaranya Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC memuat naik notis itu di platform media sosial masing-masing pada pertengahan Disember lalu.

Menerusi makluman di media sosial, Maybank menyatakan caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM dilaksanakan semula mulai 1 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Asyraf Wajdi, Umno, cak RM1, Maps, ATM, bank