
SEORANG pemandu lori didakwa melarikan diri selepas menggilis tangan seorang penghantar makanan Foodpanda di MRR2 menghala ke Taman Melati pada Sabtu.
Sebelum kejadian itu, mangsa dipercayai mengalami kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kenderaan Alphard di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Kakak kepada mangsa membuat hantaran mengenai insiden yang menimpa adiknya di media sosial Facebook dan berharap agar orang ramai yang mempunyai rakaman dari kamera papan pemuka (dashcam) berhubung kejadian itu untuk terus menghubunginya.
Menurutnya, rakaman dari kamera papan pemuka itu diperlukan untuk dijadikan bahan bukti berhubung insiden yang menimpa adiknya itu.
"Assalamualaikum, saya nak minta jasa baik kawan-kawan yang nampak dan ada rakaman dashcam tentang kemalangan rider panda dengan Alph*rd di MRR2 menghala ke Taman Melati pada 29/1/2022 pada pukul sekitar 12.30 tengah hari untuk kongsi dengan saya untuk dijadikan bahan bukti," kata kakak mangsa dalam hantaran itu.
RAKAMAN selepas kejadian kemalangan itu
Kakak mangsa yang menggunakan nama Izzati Haziqah Mohd Said ketika dihubungi Majoriti berkata, dia mahu menyelesaikan kes itu secara dalam (secara senyap) dan dia juga memberitahu bahawa adiknya sudah keluar dari pengawasan hospital
"Kami cuma perlu video rakaman sahaja kalau ada.
"Alhamdulillah. Dah keluar dari hospital dah," katanya ringkas.
Dalam pada itu, terdapat warganet di hantaran itu meninggalkan komen di hantaran itu dengan menasihati agar penghantar makanan memasang kamera papan pemuka juga bagi menjadi bukti sokongan jika berlaku kes langgar lari.
"Aku nasihatkan rider Foodpanda dan Grabfood dan seangkatan dengannya. Pasang dashcam di motor! Kalau kes langgar lari, kita nak tuntut insurans kecederaan dan kecacatan bernilai ratusan ribu tak dapat! Polis pun tidak boleh buat apa!," kata pengguna Facebook, Jiwa Kental. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram