KERJASAMA politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dikaji dengan penuh penelitian, kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno bagaimanapun berkata, setakat ini, majoriti daripada kepimpinan di semua peringkat bahagian dan akar umbi mahukan supaya BN bersendirian di dalam pilihan raya berkenaan.
"Bagaimanapun, peringkat pemimpin tertinggi akan meneliti dengan sebaik-baiknya sebelum apa jua keputusan yang hendak dibuat, supaya apa yang diputuskan nanti, semata-mata akan mendatangkan kebaikan kepada BN,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Johor di Johor Bharu, Johor pada Rabu.
Terdahulu, Mohamad menghadiri Majlis Pertemuan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno bersama MCA dan MIC Johor.
Pada Isnin, Pesuruhjaya PAS, Johor Abdullah Husin dilaporkan akan berusaha untuk bertemu dengan pimpinan Umno negeri dalam masa terdekat, bagi berbincang mengenai persefahaman dua parti itu dalam menghadapi PRN Johor atas semangat Muafakat Nasional (MN).
Ditanya mengenai kehadiran banyak parti politik yang akan menyertai PRN ini, sama ada akan memberi kelebihan atau kekurangan kepada BN, Mohamad berkata ‘lagi banyak lagi meriah’.
Ketika ditanya adakah dalam pertemuan Ahmad Zahid bersama MCA dan MIC Johor itu ada membincangkan mengenai pengagihan kerusi, beliau berkata ‘tidak ada dan belum lagi’.
"Kita tidak lagi sampai ke tahap berbincang tentang calon, kerana calon ini biarlah dilakukan dengan proses sebaik mungkin. Yang penting ialah kita nak cari formula macam mana hendak dapat meyakinkan pengundi-pengundi rakyat Johor, untuk berikan mandat semula kepada BN,” katanya.
Mengulas mengenai Majlis Pertemuan Pengerusi BN itu, Mohamad berkata, gerak kerja secara bersepadu jentera BN dalam PRN Johor amat penting, bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya itu.
"Mana-mana pilihan raya, gerak kerja yang berfokus amat penting, ia bagi memastikan masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak ada kekeliruan sesama sendiri. Kerjasama antara parti dilihat sebagai satu gerakan kerja parti BN.
"Bukan bawa diri masing-masing Umno dengan Umno-nya, MCA dengan MCA-nya dan MIC dengan MIC-nya. Kita nak dilihat sebagai satu gerak jentera kerja parti yang besar...saya yakin jika ia dibuat dengan baik kita boleh mencapai kemenangan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram