10,000 hingga 11,000 pegawai, anggota polis pantau PRN Johor


  • Primer
  • Rabu, 26 Jan 2022

POLIS juga akan menubuhkan pasukan khas yang terdiri daripada pegawai teknologi maklumat untuk memantau media sosial sepanjang PRN. — The Star

SEBANYAK 10,000 hingga 11,000 pegawai dan anggota polis bakal digerakkan untuk memantau serta memastikan kelancaran perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah keanggotaan itu membabitkan pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor serta Bukit Aman.

"Seperti contoh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman juga telah berbincang dan mengatakan siap sedia untuk beri bantuan bagi memastikan perjalanan PRN berjalan lancar dan orang ramai boleh keluar mengundi dengan aman,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, Johor Bharu, Johor pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan polis Johor dalam menghadapi PRN.

Bagaimanapun, Kamarul Zaman berkata, pihaknya masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pelaksanaan PRN serta pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, pihaknya juga akan menubuhkan pasukan khas yang terdiri daripada pegawai teknologi maklumat untuk memantau media sosial sepanjang PRN.

"Kita akan tubuh pasukan khas untuk pantau kalau ada fakta tidak betul dan pasukan ini kita tubuhkan semasa PRN untuk pastikan semua maklumat benar dan tepat,” katanya.

SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari 2022.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, PRN, anggota, Kamarul Zaman Mamat