Sijil kerakyatan diberi jika dokumen lengkap


  • Primer
  • Sabtu, 22 Jan 2022

HAMZAH memaklumkan bukan Rohana (kiri) saja yang mengalami isu kerakyatan. — The Star

KERAJAAN tiada masalah untuk memberikan sijil kerakyatan jika mempunyai dokumen perkahwinan yang sah di negara ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ini kerana pemberian sijil taraf kerakyatan perlu dibuat mengikut undang-undang yang sedia ada di negara ini.

"Antara syarat yang ditetapkan undang-undang ialah mempunyai sijil perkahwinan yang sah dan mendaftar perkahwinan di negara ini. Bila kami dapat pengakuan dan dokumen yang sah, barulah kami minta mereka buat beberapa perkara seperti akuan bersumpah sebelum layak diberikan kerakyatan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Kenduri Kampung di Masjid Kampung Tapah, Sungai Bayor dekat Selama, Larut, Perak pada Sabtu.

Hamzah sebelum ini dilapor berkata, siasatan terperinci akan dilakukan berhubung soal taraf kewarganegaraan, Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika, selepas ibunya pulang ke Indonesia dan pihaknya tidak boleh memberikan kewarganegaraan secara pukal kerana masalah dihadapi seperti yang berlaku kepada Rohana adalah banyak.

Justeru, Hamzah mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan dalam mendapatkan status kewarganegaraan seperti mendaftarkan perkahwinan sebelum berlakunya masalah membabitkan anak-anak mereka kelak. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram