PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mencalonkan wanita Muslim-Amerika pertama untuk berkhidmat sebagai hakim persekutuan.
Pencalonan itu merupakan usaha Biden untuk mempelbagaikan penjawatan badan kehakiman persekutuan.
Calon berkenaan, Nusrat Jahan Choudhury, warga Bangladesh-Amerika, diumumkan oleh Rumah Putih pada Rabu.
Beliau berkhidmat sebagai pengarah undang-undang untuk kumpulan advokasi American Civil Liberties Union di Illinois sejak 2020 dan bekerja dengan kesatuan itu dalam pelbagai jawatan sejak 2008.
Choudhury merupakan lulusan Sekolah Undang-undang Yale dan menerima ijazah sarjana muda dari Universiti Columbia.
Menurut Rumah Putih, sekiranya Choudhury menerima pengesahan Senat, dia bukan sahaja menjadi wanita Muslim-Amerika pertama yang berkhidmat di persekutuan tetapi juga warga Bangladesh-Amerika yang pertama.
Choudhury merupakan sebahagian daripada lapan calon yang dicadangkan oleh Biden, sejak beliau memegang jawatan pada Januari 2021.
Sehingga kini Biden telah mencalonkan 83 hakim persekutuan.
Penama lain termasuk Hakim Ana Isabel de Alba, yang akan menjadi wanita Latin pertama yang berkhidmat di Daerah Timur California dan yang kedua di mahkamah itu.
Hakim Nina Nin-Yuen Wang akan menjadi orang Asia-Amerika kedua yang berkhidmat di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat untuk Daerah Colorado. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram