Saringan dadah untuk ahli politik bukan keperluan mendesak — Pakar


  • Massa
  • Ahad, 16 Jan 2022

TIADA keperluan mendesak buat masa ini untuk mewajibkan ahli politik menjalani ujian saringan dadah sama ada berkala atau mengejut. — Gambar hiasan / Bernama

CADANGAN untuk mewujudkan satu polisi bagi pelaksanaan ujian saringan dadah dalam kalangan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dianggap tidak popular dan berkemungkinan tidak mendapat sambutan berikutan perkara itu bukan satu perkara mendesak.

Pakar Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan menyifatkan masalah berkaitan dadah dalam kalangan ahli politik bukan perkara yang mendesak buat masa ini sehingga perlu ada keperluan untuk mewujudkan satu polisi bagi mewajibkan mereka menjalani ujian saringan sama ada berkala atau mengejut.

"Mungkin Adun di Perak itu misalnya terlibat dadah dan disyaki bukan kali pertama (terlibat tuduhan sedemikian). Tetapi situasinya masih dianggap tidak mendesak...kalau perlu buat satu undang-undang pun bukan perkara mendesak.

"Harus faham juga bahawa yang menggubal undang-undang ini pun mereka (ahli politik) dan undang-undang ini (jika dilaksanakan) akan melibatkan diri mereka balik.

"Jadi susah kalau tiada alasan yang kukuh dan benar-benar mendesak untuk memaksa satu polisi atau Rang Undang-Undang bagi saringan dadah dalam kalangan ahli politik, dibuat," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, jika cadangan saringan berkaitan dadah terhadap Ahli Parlimen dan Adun itu dilaksanakan dalam bentuk undang-undang sekalipun, ia berkemungkinan akan menimbulkan satu persepsi buruk negara luar terhadap Malaysia.

Beliau memberikan contoh situasi yang berlaku di United Kingdom dua tahun lepas apabila ada cadangan supaya saringan dadah secara berkala dibuat berikutan terdapat khabar angin mengatakan berlaku penggunaan kanabis dalam Ahli Parlimen negara itu, namun ia tidak mendapat sambutan.

"Begitu juga dengan Australia, yang mana Perdana Menterinya, Scott Morrison mengatakan tidak perlu diadakan saringan berkala dadah dalam kalangan Ahli Parlimen walaupun terdapat desas-desus menunjukkan bahawa ada penggunaan bahan terlarang dalam kalangan mereka.

"Di Singapura pun, walaupun tidak pernah ada kes Ahli Parlimen mereka ditangkap menggunakan dadah, tiada keperluan untuk buat ujian saringan.

"Jadi di Malaysia juga begitu kerana tidak ada satu faktor untuk memaksa ia berlaku di samping kemungkinan cadangan ini tidak dapat sambutan ahli politik dan boleh jadi dalam kalangan rakyat juga," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram