SEPASUKAN anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dan pasukan perubatan terpaksa meredah hutan sejauh enam kilometer bagi membantu mengeluarkan seorang lelaki yang meninggal dunia ketika menjalankan aktiviti mendaki di Bukit Pancang, Tawau, Sabah pada Sabtu.
Bagaimanapun, mangsa Shang Yun Fui, 43, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.20 petang.
Ketua BBP Tawau, Julius John Stephan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.50 petang dan seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak 14 kilometer dari balai.
Katanya, maklumat awal diterima lelaki berkenaan pengsan ketika mendaki bukit berkenaan itu sendirian sebelum disedari orang awam di situ.
"Sepasukan anggota bomba bersama pasukan perubatan berjalan ke lokasi sejauh tiga kilometer. Sebaik tiba, mangsa disahkan meninggal dunia dan pasukan bomba berusaha membawa turun mangsa menggunakan alat 'stretcher'," katanya pada Ahad.
Operasi tamat pada jam 11 malam selepas mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram