Kerbau 'ancam' pelajar, penduduk Batu Gajah buat laporan polis


  • Massa
  • Jumaat, 14 Jan 2022

AZMIR sudah beberapa kali memberitahu pemilik kerbau itu supaya tidak melepaskan kerbaunya pada jam 6:30 pagi hingga ke 2 petang namun masih tiada tindakan yang diambil oleh pemilik kerbau itu.

KERANA sekumpulan kerbau, penduduk di Batu Gajah, Perak risau dan resah dengan keselamatan pelajar di kawasan itu.

Seorang ayah, Mohd Azmir Mahad Saiudin, 42, meluahkan kerisauannya menerusi laman Facebooknya dengan memberitahu bahawa anak lelakinya dikejar oleh sekumpulan kerbau sewaktu pulang dari sekolah.

"Pelajar sekolah rendah SK Sri Jaya Jalan Gopeng telah dikejar sekumpulan kerbau semasa balik 1:45 petang tadi (Khamis). Harap pihak berkuasa tempatan ambil tindakan terhadap pemilik kerbau itu.

"Saya risau pada pelajar yang melalui jalan tersebut. Takut ada yang kehilangan nyawa," kata Azmir di hantarannya.

Menurutnya, dia sudah beberapa kali memberitahu pemilik kerbau itu supaya tidak melepaskan kerbaunya pada jam 6:30 pagi hingga ke 2 petang namun masih tiada tindakan yang diambil oleh pemilik kerbau itu.

laporan polis kerbau

LAPORAN polis yang dimuat naik oleh Mohd Azmir Mahad Saiudin di Facebooknya

Dalam pada itu, dia turut membuat laporan kepada pihak polis daerah Batu Gajah, Perak pada Khamis dengan tujuan ingin merujuk kepada ketua kampung dan pihak Majlis Daerah Batu Gajah bagi segera mengambil tindakan.

Komen-komen dari warganet turut berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemilik kerbau segera mengambil tindakan sebelum ada nyawa pelajar yang menyalang disebabkan lambat bertindak.

"PBT kalau kes begini memang lembab. Sudah viral atau ada yang mati baru nak acah buat kerja," kata pengguna Facebook, Bro Syah Putra.

"Masa nak jual saja baru nampak muka tuan kerbau, masa bela tidak jaga betul-betul sampai menyusahkan orang lain," kata pengguna Facebook, Hamizi Mie Mie.

"Biasanya pihak berkuasa tunggu ada yang sudah mati baru sibuk nak siasat sana siasat sini. Itu perkara biasa ataupun dah jadi SOP pihak berkuasa agaknya," komen dari Nazudi Amran.

Majoriti kini cuba mendapatkan respons daripada pihak PBT dan pemilik kerbau itu berhubung isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kerbau, Batu Gajah, Perak, penduduk, pelajar,