Petronas, Shell jalin kerjasama bagi penyelesaian penyerapan, penyimpanan karbon


  • Bizz
  • Selasa, 11 Jan 2022

PETRONAS berharap kerjasama terbaharu ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak inovasi ke arah menguruskan pelepasan karbon. — The Star

PETRONAS menandatangani perjanjian kajian bersama dan kerjasama (JSCA) dengan Sarawak Shell Bhd (Shell) untuk meneroka peluang dan kerjasama projek dalam penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS) bagi membantu menyediakan penyelesaian penyimpanan karbon dioksida (CO2) di Malaysia dan rantau ini.

Mengikut JSCA itu, kedua-dua syarikat akan melaksanakan kajian Pelan Pembangunan Kawasan CCS bersepadu untuk menyokong aspirasi penyahkarbonan kedua-dua pihak dalam lingkungan lokasi luar pesisir Sarawak terpilih.

Dalam kenyataan pada Selasa, Petronas menjelaskan skop perjanjian itu termasuk meneroka pembekalan perkhidmatan penyahkarbonan kepada kemudahan tempatan dan rentas sempadan Shell, serta kepada pelanggan serantau lain yang berpotensi.

"Dapatan daripada kajian itu akan menghasilkan pilihan dalam bidang berpotensi untuk kerjasama seterusnya,” menurut syarikat minyak negara itu.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Adif Zulkifli menandatangani perjanjian itu mewakili Petronas manakala Shell diwakili Pengerusi Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Ivan Tan.

Adif berkata, Petronas mempunyai perkongsian sejak sekian lama dengan Shell.

"Kami yakin kerjasama terbaru ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak inovasi ke arah menguruskan pelepasan karbon dan memajukan cita-cita bersama kami untuk menyediakan penyelesaian tenaga berlandaskan kaedah yang bertanggungjawab dan mampan.

"Kerjasama ini menekankan usaha berterusan Petronas untuk meneroka peluang perkongsian dalam CCS,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan trajektori tersebut untuk memanfaatkan peluang yang berpotensi membantu mengurangkan pelepasan dan mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih Petronas.

"Ini merupakan antara usaha untuk meletakkan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS terkemuka di rantau ini,” katanya.

Pada November 2021, Petronas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ExxonMobil Exploration & Production Malaysia Inc untuk meneroka peluang dalam teknologi CCS bagi menyokong penyahkarbonan industri huluan Malaysia serta menyediakan penyelesaian penyimpanan CO2 untuk negara ini.

Sementara itu, pada Disember 2021, satu MoU telah ditandatangani dengan Posco International Corporation dan Posco Engineering & Construction Co Ltd untuk menilai peluang bagi memanfaatkan potensi CCS dan mengenal pasti teknologi yang sesuai dalam lingkungan skop penyerapan karbon, pengangkutan CO2 dan penyimpanan untuk penggunaan berpotensi.

Menurut Petronas, ia mengambil langkah kukuh dan tidak tergesa-gesa untuk membina portfolio yang berdaya tahan dan mampan bagi menyokong peralihan ke arah sumber tenaga rendah karbon.

Ia juga berusaha untuk mencapai lebih banyak pembakaran sifar berterusan dan pengeluaran hidrokarbon untuk mengurangkan pelepasan, seiring dengan aspirasinya bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram