Petronas, POSCO meterai MoU teroka potensi karbon


  • Bizz
  • Jumaat, 17 Dis 2021

PETRONAS sedang melaksanakan usaha membangunkan portfolio yang berdaya tahan dan mampan.

PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan POSCO International Corporation dan POSCO Engineering & Construction Co Ltd untuk bersama meneroka peluang dalam teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) selain penyelesaian penyimpanan karbon dioksida (CO2) di Malaysia.

Di bawah MoU itu, Petronas dan POSCO akan bekerjasama dan menjalankan aktiviti lanjutan teknikal bagi meninjau dan memanfaatkan potensi CCS di negara ini.

"Kedua-dua pihak akan menilai peluang penerokaan dan membuka potensi CCS dan mengenal pasti teknologi sesuai dalam skop penangkapan karbon, pengangkutan CO2 dan penyimpanan bagi penggunaan yang berpotensi,” kata syarikat minyak dan gas negara itu dalam kenyataan, pada Jumaat.

Pada majlis pemeteraian MoU itu, Petronas diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluannya, Adif Zulkifli manakala POSCO International Corporation diwakili oleh Naib Presiden dan Ketua Bahagian Perniagaan Tenaga Hwang Euy-Yong.

POSCO Engineering & Construction Co Ltd pula diwakili oleh Naib Presiden dan Ketua Perniagaannya Lee Gyu Chul.

Menurut Adif, sejajar dengan pelbagai perniagaan membabitkan Petronas and POSCO, syarikat gembira dalam menjalin kerjasama dalam membuka peluang serta potensi CCS.

"Ini adalah antara pelbagai usaha bagi menjadikan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS di rantau ini.

"POSCO pula merupakan pengeluar keluli terbesar di Korea Selatan dan kerjasama ini akan membolehkan Petronas memanfaatkan pengalaman POSCO, terutamanya dalam penangkapan dan pengangkutan karbon,” katanya.

Malah, katanya, Petronas juga sedang melaksanakan usaha membangunkan portfolio yang berdaya tahan dan mampan bagi menyokong peralihannya ke arah sumber tenaga karbon rendah.

Ini termasuk meneliti penggunaan teknologi bagi mengurangkan pelepasan dalam rantaian nilai yang meliputi aspek penangkapan, pengangkutan dan penyimpanan karbon.

"Syarikat ini juga dalam proses melaksanakan lebih banyak usaha pembakaran dan pengalihan hidrokarbon untuk mengurangkan pelepasan dengan sasaran mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram