TPM mesti dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen Umno


  • Politik
  • Sabtu, 08 Jan 2022

SYED Mohd Johan Rizal (kiri) bertemu dengan sebahagian peserta kanak-kanak yang menyertai Program Jom Gunting Rambut Percuma di Alor Setar. — Facebook

PELANTIKAN jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai sebahagian rombakan Kabinet yang didakwa akan dilakukan dalam tempoh terdekat mestilah dalam kalangan Ahli Parlimen Umno.

Pengarah Komunikasi Pemuda Umno Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masri berkata, walaupun isu itu sekadar desas-desus, namun Ahli Parlimen Umno dirasakan lebih sesuai untuk menjawat jawatan nombor dua pentadbiran negara.

"Jadi, sekiranya spekulasi ini ternyata benar maka jawatan itu perlu datang daripada parti yang memiliki ramai Ahli Parlimen yang berkelayakan dan berkemampuan, iaitu Umno.

"Kita yakin Timbalan Perdana Menteri daripada Umno dapat bantu dengan ikhlas dan bersatu hati dalam Kabinet Perdana Menteri berbanding parti lain," katanya selepas Program Jom Gunting Rambut Percuma di Masjid Al-Rahmah Taman Wira, di Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas laporan sebuah media bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob dilapor akan melantik Timbalan Perdana Menteri baharu sebagai sebahagian rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan Perdana Menteri memerlukan Ahli Parlimen Umno yang memiliki banyak pengalaman sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri yang membantunya dalam mentadbir negara.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Alor Setar berpandangan, rombakan Kabinet merupakan hak Perdana Menteri dan bukannya ketentuan parti.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan seharusnya diberikan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berbanding rombakan Kabinet kerana menteri tidak menunjukkan pretasi yang baik.

Beliau berpandangan ketika ini, menteri sedia ada dikekalkan sahaja namun perlulah meningkatkan pretasi masing-masing dengan tumpuan kabinet pada pemulihan negara dan persediaan dalam menghadapi PRU.

Sebelum itu, lebih 100 pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah ini diberi peluang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma sebagai persediaan kembali semula ke sekolah pada Ahad. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram