SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada Rabu atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Disember lalu.
M. Sutha, 26, yang merupakan ibu kandung kepada kanak-kanak itu dan S. Davandakumar, 28, hanya mendiamkan diri ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan bersama, pasangan kekasih itu secara bersama menyebabkan kematian K. Nithish di sebuah rumah di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa di Klang, Selangor pada 24 Disember lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mac depan.
Pada 28 Disember lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju di Klang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram