Dera anak sampai mati di JB, ibu berdepan hukuman mati


HUKUMAN ke atas tertuduh ditangguhkan kerana menunggu laporan bedah siasat. — Facebook

SEORANG ibu didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kematian anak lelakinya berusia lima tahun, awal Disember.

R. Kaleswary, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Madiana Mamat, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian PJ Samsoon Paul, di sebuah premis di Taman Tan Sri Yaakub dekat Iskandar Puteri antara 9 pagi hingga 12.20 tengah hari, 3 Disember 2021 lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 15 Februari 2022 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainudin.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Kaleswary bersama teman lelakinya Muhammad Iskandar Abdullah, 32, didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa sama antara April hingga 3 Disember 2021.

Ibu kanak-kanak berkenaan mengaku bersalah manakala Muhammad Iskandar yang bekerja sebagai penghantar gas mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagaimanapun hukuman ke atas Kaleswary ditangguhkan kerana menunggu laporan bedah siasat.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat sama mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Chai Ing Hien dan M. Raveena tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan itu melibatkan kematian namun Muhammad Iskandar yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan minimum kerana dia menanggung dua anak berusia dua tahun dan lapan bulan, yang seorang daripadanya merupakan anak bersama Kaleswary.

Fatimah membenarkan Muhammad Iskandar diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan 27 Januari 2022 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen, laporan bedah siasat mangsa dan lantikan peguam.

Pada 3 Disember 2021, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia dipercayai didera. Polis menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah mengenai kejadian itu pada 12.20 tengah hari.

Pemeriksaan ke atas badan mangsa turut menemukan kecederaan di mulut dan lebam di seluruh bahagian depan serta belakang badan dipercayai akibat didera.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram