IBU bapa terus berbelah bahagi sama ada ingin membenarkan anak-anak mereka yang berumur tiga hingga 11 tahun diberi vaksin Covid-19 berikutan kebimbangan berhubung kesan sampingannya.
Bagi Dzuria Azmi, dia akan mengikuti arahan kerajaan sekiranya anak lelakinya yang berusia sembilan tahun diberi vaksin.
"Kami mungkin tidak mempunyai pilihan kerana akan ada sekatan jika tidak divaksin dan ia boleh menyusahkan kami kelak.
"Saya tidak boleh meninggalkan anak saya di rumah dan tidak membawanya keluar langsung," kata eksekutif kanan berusia 43 tahun itu.
Tambah Dzuria, salah seorang rakannya keberatan untuk membawa anaknya menerima suntikan vaksinasi tetapi terpaksa mengalah apabila kanak-kanak itu tidak dapat hadir ke sekolah kerana status mereka yang tidak divaksin.
Sementara itu, Kirpal Singh, 45, berkata, dia tidak ragu-ragu untuk membawa kedua-dua anaknya berusia tujuh dan 10 tahun menerima suntikan vaksinasi tetapi lebih suka diberi pilihan untuk mendapatkan vaksin bukan mRNA seperti CoronaVac, yang dihasilkan oleh Sinovac.
Jurutera teknologi maklumat (IT) itu berkata, dua lagi anaknya mengambil suntikan vaksin mRNA, Comirnaty Pfizer-BioNTech.
Dalam pada itu, Jacky Sim bagaimanapun menzahirkan kebimbangan untuk membenarkan anaknya berusia empat tahun diberi suntikan vaksin.
"Saya bimbang tentang kemungkinan kesan sampingan kerana usianya yang masih muda. Saya akan menolaknya sehingga saya tahu ia benar-benar selamat untuk anak saya," katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Dr Sim Kui Hian mengumumkan Sarawak akan mula memberi suntikan vaksi kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun bermula Februari.
Kesemua kanak-kanak akan diberi suntikan jenis Pfizer-BioNTech.
Pada Oktober tahun lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan akan mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak di negara ini memandangkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) menyesyorkan vaksin tersebut bagi mereka berusia lima hingga 11 tahun.
Ujar Pfizer, vaksinnya untuk kanak-kanak memiliki keberkesanan sebanyak 90 peratus dalam mencegah jangkitan tanpa gejala. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram