Usah panik, situasi di Jeram Toi, Sungai Klawang terkawal


  • 112
  • Isnin, 03 Jan 2022

SITUASI di Jeram Toi selepas banjir baru-baru ini. — Facebook

PENDUDUK yang berada di Jeram Toi dan sekitar Sungai Klawang, Jelebu dekat Negeri Sembilan diminta tidak gusar dan panik mengenai dakwaan banjir di kedua-dua kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu Mohd Fazzil Mohd Yunus berkata, hasil pemantauan udara menggunakan dron oleh pihaknya bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) petang Ahad mendapati paras air sungai di kawasan tersebut masih terkawal.

"Mesej yang ditularkan mengatakan akan berlaku banjir di situ (Jeram Toi dan sekitar Sungai Klawang) hanyalah langkah persediaan sekiranya hujan berterusan.

"Kadang-kadang mesej berantai ditularkan dan ada yang ditokok tambah sehingga menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat. Tiada apa-apa isu, kami bersama JPNS sudah membuat pemantauan petang tadi dan situasi berada dalam keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.

Beliau berkata, selain bomba, semua anggota pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia di daerah itu sedang bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada Ahad, tular dakwaan menerusi aplikasi WhatsApp bahawa banyak pokok tumbang dan terkumpul di Jeram Toi selain penduduk di kawasan sekitar diminta bersedia sekiranya berlaku banjir dan segera memaklumkan kepada ketua kampung masing-masing. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jeram Toi, Sungai Klawang, banjir, tular, Jelebu