CIRI MySejahtera Trace (MySJ Trace) yang diperkenalkan menerusi kemaskini terbaharu aplikasi MySejahtera sejak 24 Disember lalu dilihat mengatasi rungutan rakyat tentang fungsi 'check out'.
Sebelum ini, orang ramai digalakkan supaya menekan butang 'check out' sekiranya tidak lagi berada di sesebuah lokasi tersebut.
Bagaimanapun, fungsi itu dikatakan tidak praktikal dan ramai terlupa untuk menekan butang 'check out' tersebut.
Namun, ciri MySJ Trace hanya memerlukan anda untuk membuka tetapan Bluetooth sepanjang masa bagi membolehkan aplikasi tersebut mengesan keberadaan kita.
Menurut seorang pengguna Twitter, @hasfa, kaedah itu dilihat tidak praktikal dan hanya akan menyukarkan lagi rakyat.
"MySJ Trace sewajarnya guna Antaramuka Pengaturcaraan Aplikasi (API) yang disediakan dalam sistem operasi Android atau iOS untuk melaksanakan penjejakan lokasi menggunakan Bluetooth ini.
"Buka Bluetooth dan Sistem Kedudukan Global (GPS) sepanjang masa, hubungkan dengan jam dan sebagainya sebelum ini pun, tidaklah bateri telefon kita cepat habis," katanya.

APLIKASI itu menghantar notifikasi untuk membuka tetapan Bluetooth terlebih dahulu. — Facebook
Rata-rata rakyat meluahkan rungutan mereka di media sosial yang mengatakan ciri terbaharu itu menyebabkan bateri telefon menurun lebih cepat.
Malah, ada juga mendakwa ciri MySJ Trace itu mendedahkan keberadaan mereka terutamanya bagi golongan wanita.
Ada juga pengguna yang masih keliru dengan petunjuk 'interaksi' dalam aplikasi tersebut dan meminta pihak Kementerian Kesihatan menjelaskan perkara tersebut.

ANTARA rungutan warganet tentang MySJ. — Twitter
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kerajaan tidak menolak kemungkinan memaksa pengguna MySejahtera mengaktifkan ciri baharu tersebut.
Ujar beliau, kementeriannya kini menggalakkan penggunaan ciri MySJ Trace tetapi jika kes Covid-19 meningkat, langkah lebih ketat akan dilaksanakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
