Kurang nilai moral cetus sifat pembuli — pakar


  • Massa
  • Selasa, 21 Dis 2021

TANGKAP layar video insiden buli membabitkan para pelajar MRSM Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini. — Facebook

BAGAIKAN tiada noktah, insiden buli membabitkan keganasan fizikal terus menghantui institusi pendidikan di negara ini dengan yang terbaharu dikesan pada awal bulan ini.

Insiden melibatkan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air itu terbongkar menerusi rakaman video berdurasi 10 minit yang tular, mengundang kecaman netizen dan masyarakat amnya.

Kejadian turut menimbulkan persoalan ke manakah perginya empati dan kemanusiaan dalam diri remaja yang masih dalam peringkat 'rebung' itu sehingga sanggup beramai-ramai menumbuk seorang rakan sebaya.

Tidakkah mereka belajar daripada kejadian buli yang meragut nyawa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)?

Menurut pakar pendidikan dan psikologi, tidak semua pembuli berasal daripada keluarga bermasalah atau akibat masalah keluarga atau pernah menjadi mangsa buli. Sebaliknya ada yang menjadi demikian disebabkan kekurangan nilai murni dalam pembangunan sahsiahnya.

"Masalah buli berlaku dalam kalangan pelajar adalah sangat berkait dengan nilai yang mereka pegang. Maksudnya, kalau seseorang itu mempunyai nilai agama yang baik, nilai moral yang baik, mereka tidak akan melakukan buli,” kata pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad.

Menurutnya, faktor nilai murni kurang diberi perhatian dalam kes buli kerana kebanyakan ahli masyarakat menuding jari kepada masalah keluarga seperti pergaduhan ibu bapa atau pembuli sendiri pernah menjadi mangsa.

Ada pembuli katanya, menerima kasih sayang yang mencukupi daripada keluarga, namun hilang nilai murni kerana pengaruh rakan dan persekitaran seperti keganasan dalam permainan video dan juga filem yang mereka anggap sebagai kelakuan hebat.

Akibat lemah aspek kerohanian, mereka tidak dapat membezakan di antara yang betul dan salah, katanya dan menambah, lebih buruk lagi ada yang membuli sekadar untuk berseronok atau suka-suka.

Justeru, tidak menghairankan apabila pembuli mentertawakan mangsa yang kesakitan, walhal jika ada nilai kasih antara manusia dalam diri mereka, perkara itu tidak akan berlaku, tegas beliau.

"Saya sedih melihat pelajar bijak pandai yang masuk sekolah asrama penuh tetapi tidak menggunakan pemikiran rasional untuk membezakan mana yang baik dan buruk, sedangkan bagi saya isu buli tidak menuntut kematangan yang tinggi.

"Malah, anak kecil, sekiranya diberikan penekanan pendidikan akhlak, moral dan agama di peringkat awal juga mampu membezakan perbuatan seperti itu adalah tidak bermoral mahupun wajar,” katanya, menambah tuntutan kehidupan menyebabkan ramai ibu bapa menyerahkan sepenuhnya aspek pembangunan nilai sahsiah si anak kepada sekolah dan pembantu rumah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Anuar Ahmad, MRSM, buli, pakar, nilai moral