
ISU status Movie Animation Park Studios (MAPS) menjadi perbalahan antara parti kerajaan Negeri dan pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Sabtu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa ucapan penggulungan, menafikan dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bahawa kerajaan negeri membelanjakan RM600 juta untuk taman tema yang tidak lagi beroperasi tersebut.
“Kerajaan negeri tidak pernah membiayai projek itu. Sebaliknya ia dibiayai melalui beberapa pinjaman daripada pelbagai institusi kewangan. Oleh itu, kita tidak mempunyai locus standi dalam campur tangan berhubung hal syarikat taman tema itu.
"Malah, semasa saya menjadi ketua Pembangkang negeri, saya menafikan tuduhan bahawa negeri membelanjakan wang sebanyak itu untuk MAPS," katanya.
Saarani berkata, projek itu dibiayai oleh PCB Development Sdn Bhd (PCBD), anak syarikat Perak Corp Bhd yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
“Sekiranya ada sebarang dakwaan jenayah dibuat (berkaitan MAPS), (Adun) boleh membuat laporan polis dan biarkan pihak berkuasa mengambil tindakan,” tambahnya.
Terdahulu, Ketua Pembangkang negeri yang juga Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari bertanya kepada Saarani sama ada beliau bersetuju bahawa apa yang berlaku kepada MAPS menjejaskan imej negeri.
“Saya bersetuju dengan apa yang Abdul Aziz katakan sebelum ini, bahawa apa yang berlaku kepada MAPS mencemarkan imej negeri, dan menjadi tanggungjawab kita (sebagai pentadbiran negeri) untuk memulihkan imej itu. Kami akan memudahkan urusan dalam bidang yang kami mampu.
"Tetapi kami tidak akan campur tangan dalam hal yang berkaitan undang-undang MAPS," katanya.
Dibuka pada 2017, taman tema bernilai RM520 juta itu ditutup sejak Januari 2020.
Pada tahun 2019, audit khas oleh jawatankuasa audit PCB mendedahkan bahawa kos asal pembinaan dan pembangunan MAPS dinyatakan pada RM390 juta, namun kos sebenarnya berjumlah RM607 juta.
Pada 2020, kerajaan negeri cuba mencari pelabur swasta untuk mengambil alih MAPS.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin pula berkata, kira-kira 1,700 wanita di Perak berdepan kemiskinan haid dan tidak mampu untuk membeli tuala wanita.
Semasa sesi soal jawab pada persidangan DUN, Wan Norashikin berkata, antara isu yang dihadapi ialah kekangan kewangan dan kekurangan maklumat mengenai haid dan kebersihan.
“Kami juga menerima laporan bahawa ada pelajar sekolah di negeri ini ponteng kelas ketika datang haid.
“Kami sedang merancang beberapa program dan kempen, termasuk menyediakan kit kesihatan asas untuk wanita di negeri ini,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram