Banjir di Selangor semakin buruk, ribuan penduduk terjejas


  • 112
  • Sabtu, 18 Dis 2021

BEBERAPA jalan utama di lokasi banjir di Selangor ditutup kepada kenderaan terutama kenderaan ringan. — Bernama

HUJAN lebat tanpa henti sejak pagi Jumaat menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir dengan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan puluhan pengguna jalan raya terpaksa bermalam di dalam kereta berikutan laluan ke rumah mereka ditenggelami air.

Selain Lembah Klang, beberapa negeri lain terutama pantai timur Semenanjung turut terjejas dalam banjir musim tengkujuh kali ini.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri, hampir 4,000 orang dipindahkan di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.

Sehingga 6 petang, Sabtu, hujan kadang kala lebat masih dilaporkan di Lembah Klang dan negeri-negeri pantai timur menyebabkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran bahaya dengan hujan sangat lebat sepanjang hari di kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat serta Hulu Langat, Selangor

Jurucakap MetMalaysia ketika dihubungi berkata, situasi hujan lebat sejak Jumaat di Selangor disebabkan sistem tekanan udara rendah dikesan di kawasan Laut China Selatan yang memasuki perairan Pahang dan seterusnya mengakibatkan hujan lebat di kawasan negeri-negeri barat Semenanjung Malaysia.

"Orang ramai dinasihat berhati-hati dengan keadaan cuaca sekarang ini dan sentiasa mendengar arahan keselamatan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Hujan lebat yang mengakibatkan banjir di Lembah Klang itu turut menjejaskan operasi pelabuhan terminal Port Klang di Northport, Westports dan Southport yang merupakan antara pelabuhan yang tersibuk di dunia.

Lembaga Pelabuhan Klang dalam kenyataan memberitahu turut terjejas adalah operasi di gudang dan depot kontena kosong di kawasan sekitar dan diburukkan lagi dengan kerosakan jalan masuk.

Beberapa jalan utama ditutup kepada kenderaan terutama kenderaan ringan antaranya semua lorong di Plaza Tol Shah Alam, Lebuhraya ELITE Km 3.0 arah Utara dari Seafield ke Shah Alam, Lebuhraya NKVE Km 8.3 arah Utara dari Setia Alam ke Shah Alam dan Km 8.7 arah utara dari Setia Alam ke Shah Alam yang menyebabkan semua lorang masuk di Plaza Tol Bukit Raja turut ditutup.

Keadaan itu menyebabkan puluhan pengguna jalan raya terpaksa bermalam di dalam kereta malam tadi apabila jalan-jalan utama di Setia Alam, Shah Alam yang menghubungkan Bandar Bukit Raja, Meru dan Sungai Kapar Indah, Selangor dinaiki air.

Ada yang meninggalkan kenderaan di tepi jalan pagi ini dan meredah air kira-kira dua kilometer untuk pulang ke rumah mereka.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan, setakat 4 petang, Sabtu, seramai 3,010 mangsa dipindah ke 40 PPS di negeri berkenaan melibatkan daerah Sepang, Klang, Kuala Langat dan Hulu Klang.

Maklumat daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia memaklumkan air pasang setinggi empat meter melanda perairan Pelabuhan Klang selama dua hari bermula hari ini dengan paras air pasang dijangka mencecah 4.08 meter pada 5.36 pagi dan 3.9 meter pada 6.08 petang, Ahad.

Laman sesawang InfoBanjir setakat 4.30 petang, Sabtu, memaklumkan 16 sungai di Selangor melepasi tahap merah iaitu bahaya, tiga sungai pada tahap amaran atau jingga dan lima sungai pada paras berjaga-jaga tahap kuning.

Di Kelantan, sejumlah 1,391 mangsa banjir kini ditempatkan di 23 PPS melibatkan jajahan Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas manakala di Melaka seramai 225 orang ditempatkan di lima PPS di Alor Gajah dan seramai 285 mangsa ditempatkan di tiga PPS di Terengganu.

Sementara itu, pemerhatian di portal https://publicinfobanjir.water.gov.my mendapati beberapa sungai utama di Pahang, Selangor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak berada pada tahap bahaya dan dalam trend menaik.

Sungai terlibat antaranya Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Lembing dan Sungai Jelai di Pahang; Sungai Langat, Sungai Semenyih, Sungai Klang dan Sungai Bernam di Selangor; Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Kelantan; Sungai Linggi di Negeri Sembilan; Sungai Slim dan Sungai Bidor di Perak serta Sungai Melaka di Melaka. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, PPS, mangsa, sungai, hujan