
MALAYSIA mempunyai undang-undang yang lengkap bagi menghentikan amalan rasuah, tetapi tidak cukup untuk menghentikan amalan tersebut terutamanya dalam kalangan entiti perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Coalition for Business Integrity, Mark Chay berkata, beliau akan sentiasa mengingatkan komuniti perniagaan di negara ini agar tidak terlibat dengan rasuah.
”Semangat untuk memerangi rasuah sentiasa ada, tetapi sebagai rakyat Malaysia dan juga masyarakat perniagaan, kami ingin melihat perubahan berlaku di semua peringkat,”
“Hukuman yang ada sudah setimpal, inilah masanya untuk kita hentikan rasuah. Budaya ini perlu diubah.
"Bukan semua perkara perlu kita warisi daripada nenek moyang kita. Jika sesetengah perkara itu tidak baik, ia perlu dibuang,” katanya ketika menghadiri sesi Dialog Hari Antirasuah Antarabangsa di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Beliau turut berharap agar sesi dialog bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat diadakan dengan lebih kerap.
Sementara itu, Pengurus Operasi LBL Industri Tenaga (IAEN) ABB Malaysia Sdn Bhd, Subhasis Roy Chowdhury berkata, banyak inisiatif antirasuah yang telah diambil di rantau ini tetapi untuk menghapuskan rasuah kesemuanya sekali adalah mustahil.
”Kami amat yakin dengan usaha SPRM dalam melaksanakan inisiatif bebas rasuah melalui sistem pendidikan dan hal ini dijangka memberikan hasil yang baik pada masa hadapan. Selain daripada sukatan buku teks, tahap kesedaran yang diberikan kepada pelajar serta penglibatan daripada organisasi bukan kerajaan (NGO), juga satu usaha terbaik.
”Keterlibatan dalam mana-mana amalan rasuah adalah sepenuhnya terletak kepada individu sendiri. Tiada siapa yang boleh menyalahkan sistem secara keseluruhannya semata-mata kerana segelintir individu yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini.
“Undang-undang, proses, pelaksanaan dan kesedaran ada, namun ia bergantung kepada individu. Mungkin ada satu atau dua kes yang berlaku adalah berkaitan sistem tetapi ia pasti boleh dihapuskan apabila kesedaran hakiki diberikan. Pada masa yang sama, inisiatif yang dijalankan oleh SPRM semestinya dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Penasihat (Hal Ehwal Politik) Indonesia di Kedutaan Indonesia, Abelian Prajnya Yodha berkata, sesi dialog ini sudah pasti memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara Indonesia dan Malaysia disamping mengukuhkan hubungan sedia ada antara agensi antirasuah kedua-dua negara iaitu Komisi Pemberantasan Korupsi Republik Indonesia (KPK) dan SPRM.
"Kami akan sentiasa menasihati komuniti perniagaan Indonesia di Malaysia untuk menjalankan perniagaan masing-masing mengikut undang-undang negara," katanya.
Tambahnya lagi, beliau juga berharap agar SPRM mengadakan lebih banyak sesi dialog pada masa hadapan dan berhasrat untuk menjemput lebih ramai pihak entiti perniagaan Indonesia menyertainya.
Panel dialog dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan dibantu oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Datuk Razim Mohd Noor dan Timbalan Pengarah Bahagian Penyiasatan, Datuk Izani Wan Ishak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram