MAHKAMAH Rayuan pada Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas.
Terdahulu, Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Najib sebelum dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Retirement Fund Inc.
Beliau juga didakwa atas tiga tuduhan CBT dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta milik SRC International, bekas unit 1MDB.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan terbabit pada Julai tahun lepas. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram