Peguam positif Covid-19, Najib minta tangguh keputusan rayuan kes SRC International


MUHAMMAD Shafee memaklumkan perkara itu kepada mahkamah menerusi surat pada Isnin. — The Star

PASUKAN pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak memohon pengangguhan pendengaran mereka untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SR International Sdb Bhd yang dijadualkan didengar pada Selasa.

Menurut peguam utama dalam pasukan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah menerusi surat lewat malam Isnin, ini susulan salah seorang pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu dilaporkan dijangkiti Covid-19.

Muhammad Shafee memaklumkan, salah seorang peguamnya didapati positif Covid-19 manakala yang lain menjadi kontak rapat.

Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar permohonan yang difailkan oleh Najib pada 1 Disember lalu di mana Ahli Parlimen Pekan itu meminta mahkamah rayuan membenarkan dan mengarahkan bukti viva voce (bukti lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki antara lain untuk diambil bagi tujuan rayuan Najib.

Mahkamah rayuan juga bersedia untuk menyampaikan keputusan dalam rayuan Najib dalam kes SRC International pada Rabu.

Dalam suratnya, Muhammad Shafee meminta mahkamah mengosongkan perbicaraan untuk kedua-dua prosiding pada Selasa dan Rabu kerana peguam, yang merupakan anaknya, Muhammad Farhan, telah disahkan positif Covid-19 pada 6 Disember.

Seorang lagi peguam di firmanya, Zahria Eleena Redza, turut memaklumkan dua lagi anggota pasukan pembelaan Harvinderjit Singh dan Farhan Read, bahawa ibunya positif Covid-19 berdasarkan keputusan ujian pada 6.08 petang Isnin.

“Pada 4 Disember, Muhammad Shafee bersama Muhammad Farhan dan isterinya telah menghadiri majlis dan bertemu dengan rakan-rakan terdekat serta saudara mara yang turut melibatkan keluarga Zahria Eleena termasuk ibunya, Datin Edwina Patricia Totu,” kata Muhammad Shafee.

Tambah Muhammad Shafee, selepas pasukan itu dimaklumkan oleh Zahria Eleena tentang ibunya, semua peguam di firma itu telah membuat ujian saringan mereka sendiri.

Ujian Muhammad Farhan didapati positif dalam tiga kit ujian berbeza manakala selebihnya negatif.

“Justeru status MySejahtera kesemua mereka yang terlibat telah bertukar kepada kontak rapat kerana menunggu masa yang sesuai untuk menjalankan ujian PCR.

“Berdasarkan alasan di atas, kita mempunyai tanggungjawab sosial terhadap mahkamah dan pihak terlibat untuk memaklumkan perkara itu kepada semua orang.

“Kami tidak menjangka perkara ini berlaku tetapi menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan keselamatan mereka yang terlibat dalam rayuan ini,” tambahnya.

Seorang pegawai mahkamah berkata perbicaraan pagi Selasa akan diteruskan secara hibrid yang mana panel hakim dan pihak pendakwaan akan berada di mahkamah terbuka manakala pasukan pembelaan akan mengambil bahagian melalui Zoom. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram