Aspirasi 100 hari KDN beri impak positif


  • Primer
  • Selasa, 07 Dis 2021

AINAH memberitahu KDN bermatlamat untuk menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam menerusi tiga aspirasi yang menggariskan 16 inisiatif.

MATLAMAT Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari menunjukkan impak yang positif menerusi pelaksanaan 16 inisiatif di bawah tiga aspirasi yang digariskan.

Setiausaha Perancangan Strategik KDN, Ainah Soon berkata, perluasan sistem dan fungsi agensi merupakan antara pelaksanaan yang banyak memberi impak kepada masyarakat.

"AKM 100 Hari KDN bermatlamat untuk menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam, oleh yang demikian akses rakyat untuk mencapai agensi-agensi di bawah kami menjadi keutamaan dalam inisiatif yang dilaksanakan.

"Menerusi AKM, KDN melaksanakan pelbagai tindakan, antaranya memperluas fungsi Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai balai polis, perluasan Sistem Pengesahan Data Integrasi Kematian (SPDIM) dan perluasan kemudahan eVisa dari 10 negara ke 35 negara untuk kategori pelancong dan bagi kategori pelajar asing dan ekspatariat (pas jangka panjang)," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi temubual bersama media di KDN Putrajaya pada Selasa.

Tambah beliau lagi, dalam aspek keselamatan negara, KDN memberi fokus kepada beberapa aspek termasuk penjagaan sempadan negara dan maritim.

Katanya lagi, bagi kawalan sempadan negara, selain memperluas fungsi PGA, KDN turut menyerap fungsi Agensi Kawala Sempadan Malaysia (AKSEM) ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menubuhkan pasukan nukleus Single Border Agency (SBA).

"Kita juga memperkukuh mekanisme penguatkuasaan keselamatan dengan pelaksanaan secara bersepadu, pasukan khas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin, Op Bantu (Bantuan Bakul Makanan) dan Op Patuh (Penguatkuasaan Akta 342).

" Selain itu, dari aspek end to end service (E2E), perkhidmatan dalam talian turut diperluas dengan mempelbagaikan lagi khidmat yang bukan sahaja memudahkan pelbagai pihak tetapi turut ditambah baik," ujarnya lagi.

Ainah turut memberitahu, kesemua pencapaian KDN akan dipamerkan di Program AKM 100 hari di KLCC bermula Khamis hingga Ahad depan.

Jelasnya lagi pada pameran itu juga, semua agensi di bawah KDN akan membuka kaunter khas yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang boleh dilakukan oleh orang ramai.

"Antara yang menarik adalah perkhidmatan pembayaran saman yang akan diberikan diskaun serta khidmat penggantian kad pengenalan yang siap hanya 30 minit," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

AKM, 100 hari, KDN, PDRM, RELA, Ainah Soon