Dua Adun positif Covid-19, sidang Dun Kelantan ditangguh


  • Primer
  • Ahad, 05 Dis 2021

DUA Adun iaitu dari Tanjong Mas (Rohani Ibrahim) dan Adun Tendong (Mohd Rozi Muhamad) positif Covid-19. — Sinar Harian

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang dijadualkan berlangsung sehingga Selasa ini ditangguhkan lebih awal berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) positif Covid-19.

Speaker Dun Datuk Abdullah Ya’kub berkata keputusan menangguhkan persidangan Dun ini terpaksa dilakukan bagi mengelak berlakunya penularan Covid-19 kepada orang lain.

"Sepatutnya kita tamat persidangan pada 7 Disember depan..saya mendapat maklumat, dua Adun iaitu dari Tanjong Mas (Rohani Ibrahim) dan Adun Tendong (Mohd Rozi Muhamad) positif Covid-19, jadi kita terpaksa menangguhkan sidang Dun Kelantan sehingga diberitahu kelak," katanya kepada pemberita selepas Sidang Dun Kelantan di Kota Darulnaim, di Kota Bharu pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Abdullah turut memaklumkan Adun Kemuning Mohd Roseli Ismail sedang menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada anaknya yang positif Covid-19.

Sebelum menangguhkan Sidang Dun itu, Abdullah berkata Belanjawan Negeri Kelantan 2022 telah diluluskan sebulat suara, tanpa dibahaskan.

"Kita dapat tamatkan persidangan selepas lulus Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan mengikut Perkara 29 peraturan dewan, Speaker berkuasa untuk menangguhkan dewan pada bila-bila masa,” katanya.

Belanjawan Kelantan 2022 bertemakan 'Kelantan Maju Rakyat Sejahtera' memperuntukkan sejumlah RM1.51 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat.

Ia melibatkan enam teras iaitu Transformasi Kewangan, Memacu Ekonomi, Pendidikan dan Agama, Kesejahteraan Rakyat, Pelindungan Sosial dan Kebajikan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram