MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihati orang ramai agar meningkatkan langkah kesihatan awam bagi membendung jangkitan Covid-19, terutamanya berikutan kebimbangan varian baharu Omicron.
Ujar Khairy, orang ramai digesa agar terus memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan amalan kebersihan yang disarankan.
"Kita tahu varian Omicron mungkin lebih mudah ditularkan daripada varian Delta, tetapi kita belum tahu 'virulence' (keterukan/ keparahan) varian berkenaan.
"Apa yang boleh kita lakukan dalam masa yang sama ialah meningkatkan amalan kesihatan awam dengan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, amalan kebersihan dan menambah baik pengaliran udara kawasan tertutup.
"Pastikan warga emas kita selamat dan ambil dos penggalak apabila ditawarkan," ujarnya menerusi ciapan Twitter pada Selasa.
Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian Omicron berisiko sangat tinggi di seluruh dunia, walaupun masih belum dipastikan tentang bahaya dan tahap penularan strain baharu itu.
WHO turut memaklumkan Omicron yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan itu adalah varian yang sangat berbeza.
Beberapa negara termasuk Malaysia menyekat kemasukan pengembara dari Afrika Selatan dan tujuh negara yang dikaitkan dengan varian Omicron. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram