TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan terperinci termasuk berkaitan aspek teknikal berhubung kejadian pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, di sini malam Selasa.
Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan segera.
"Kami akan jalankan siasatan teknikal secara terperinci, setakat ini yang lain, saya tidak dapat komen," katanya kepada pemberita ketika berada di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi melawat mangsa nahas yang cedera dalam kejadian itu, awal pagi Rabu.
Dalam nahas yang berlaku pada 10.07 malam Selasa itu, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.
Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Unit Forensik dan Wad Kecemasan Hospital Seberang Jaya, mendapati beberapa anggota polis dan TUDM berada di perkarangan hospital seawal 8 pagi.Bagaimanapun waris dan anggota keluarga terdekat mangsa masih belum kelihatan dan pekarangan hospital didapati dikawal ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Difahamkan pihak hospital melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa nahas pada pukul 9 pagi Rabu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram