Beberapa lokasi di Pulau Pinang dilanda banjir kilat


  • 112
  • Jumaat, 12 Nov 2021

BEBERAPA jalan raya dan rumah di kawasan rendah dinaiki air sehingga paras setengah meter. — Bernama

HUJAN lebat sejak awal pagi Jumaat di Pulau Pinang terutama di bahagian pulau telah menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat.

Hujan sejak pukul 3 pagi hingga 9 pagi itu menyebabkan beberapa jalan raya dan rumah di kawasan rendah dinaiki air sehingga paras setengah meter.

Antara kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Kampung Masjid Hisham Yahya, Jalan P. Ramlee, Jalan Kuantan, Jalan Pintal Tali, Jalan Macalister, Lorong Ngah Aboo, Jalan Anson, Lebuh Mcnair, Lebuh Nanking, Lebuh Katz, Pasar Lebuh Cecil, Jalan Timah Simpang Kg Jawa Lama, Lebuh Carnarvon, Lebuh Victoria dan Pengkalan Weld.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata setakat ini tiada penduduk atau mangsa banjir yang dipindahkan akibat kejadian banjir kilat tersebut.

"Pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah bertungkus-lumus sejak awal pagi tadi membersihkan longkang bagi mengelakkan ia tersumbat kerana boleh memburukkan lagi keadaan banjir kilat," katanya.

Phee berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga sedang memantau dengan dekat situasi banjir kilat itu kerana hujan dijangka melanda negeri itu sehingga lewat petang Jumaat.

Beliau turut meminta penduduk yang rumah mereka dinaiki air agar segera menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan bagi memastikan mereka tidak terperangkap atau menjadi mangsa banjir.

"Beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat, airnya telah surut namun ketika ini hujan mula turun semula dan kami akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa," katanya.

Ketika ini, cuaca di bahagian pulau hujan di beberapa kawasan manakala di tanah besar pula mendung dan dijangka mengalami hujan lebat pada sebelah petang.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram