'Dia khianat saya, Pak Lah, Tun M dan PH'


  • Politik
  • Jumaat, 12 Nov 2021

MUHYIDDIN dipecat sebagai Timbalan Perdana Mneteri pada 2015 kerana isu 1MDB.
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganggap bekas Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai seorang pengkhianat.

Najib dalam satu hantarannya di Facebook memberitahu, alasan dia memecat Muhyiddin daripada jawatannya pada 2015 bukan disebabkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Semalam, ada yang masih cuba memesongkan sejarah dan menjaja cerita dongeng kononnya dia dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dipecat dari UMNO sebab mempersoalkan 1MDB, Mengarut.

"Dia dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada bulan Julai 2015 sebab dia sudah berkomplot dengan Mahathir sejak tahun 2014 untuk jatuhkan saya," katanya.

Malah menurut Najib, perkara itu juga disahkan sendiri oleh Mukhriz yang juga anak kepada Tun Mahathir ketika berada di mahkamah.

"Dia bukan tak biasa dengan perkara khianat. Dia khianat Pak Lah untuk jadi Timbalan Presiden UMNO. Dia khianat saya. Dia khianat Tun Mahathir dan PH (sehingga dia bertanding atas tiket PKR) untuk jadi Perdana Menteri," katanya.

Jelas Najib lagi, Muhyiddin juga dipecat dari UMNO dengan keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi setahun kemudian pada bulan Jun 2016 sebab dia berkempen bersama DAP, PKR dan Tun Mahathir bermula di acara menipu "Selamatkan Malaysia" pada bulan Mac 2016.

Tambahnya, jika dia masih lupa kenapa dia dipecat dari parti, boleh tanya Hisham, Khairy atau Annuar Musa yang turut terlibat dalam keputusan memecatnya dari UMNO. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram