Anak tiri Najib nafi terbit filem guna dana 1MDB


RIZA Shahrir (tengah) mendakwa beliau menerima pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi. — Bernama

PENERBIT filem Hollywood, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikat miliknya mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC) untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat (AS), bukan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

IPIC merupakan syarikat yang ditubuhkan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang ketika itu Pengarah Urusannya adalah Khadem Abdullah Al-Qubaisi iaitu bekas pembantu Timbalan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan dan juga ahli keluarga diraja.

Perkara berkenaan dinyatakan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan Riza Shahriz, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited selaku defendan menerusi Tetuan Scivetti & Associates pada 25 Oktober lalu.

Berdasarkan pernyataan pembelaan, Riza Shahriz mendakwa, sukar bagi penerbit filem yang tidak dikenali untuk memperoleh pinjaman daripada bank, maka beliau memutuskan untuk mendapatkan pinjaman daripada individu atau syarikat.

Riza Shahriz mendakwa, beliau diperkenalkan kepada Putera Saud Abdulaziz bin Majed bin Abdulaziz Al Saud (Putera Saud) dan Putera Faisal bin Turki bin Abdullah bin Abdulaziz Al Saud (Putera Faisal) dari keluarga diraja Arab Saudi yang menunjukkan minat untuk memberi pinjaman wang kepadanya bagi penerbitan filem oleh Red Granite Pictures Incorporated.

"Saya dimaklumkan bahawa wakil keluarga diraja Arab Saudi bersetuju untuk memberi pinjaman itu.

"Pinjaman tersebut akan dibayar oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Alsen Chance Holdings Limited iaitu sebuah syarikat yang dimiliki secara benefisial oleh keluarga diraja Arab Saudi. Sehubungan itu, saya menandatangani Perjanjian Pinjaman dengan Alsen Chance,” menurutnya.

Riza Shahriz mendakwa selepas menandatangani perjanjian itu, beliau menerima wang berjumlah AS$1,173,104 (RM4,867,795) dan AS$9,000,000 (RM37,345,500) serta wang tersebut digunakan untuk membiayai dua syarikat itu termasuk penubuhan serta pengurusan syarikat produksi, pembelian hak skrip, buku dan penerbitan filem-filem.

Dakwa anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu, beliau menunaikan kewajipannya di bawah Perjanjian Pinjaman Alsen Chance pada 31 Okt 2021 untuk melunaskan hutang kepada Alsen Chance sepenuhnya bersama dengan faedah.

"Pada masa itu Alsen Chance tidak mempunyai hubungan atau kaitan dengan plaintif-plaintif (1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited) dan tiada sebab untuk plaintif-plaintif mengesyaki sumber dana tersebut,” dakwa Riza Shahriz.

Berhubung pemindahan sebanyak AS$238 juta (RM987 juta) kepada Red Granite Capital, Riza Shahriz mendakwa wang berkenaan digunakan untuk membiayai perniagaan kedua-dua syarikat tersebut termasuk kos operasi syarikat produksi, pembelian hak skrip, buku dan penerbitan filem-filem.

Sementara itu, peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili kesemua defendan ketika dihubungi pemberita berkata, pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syeela Marlina Uttaman secara dalam talian pada Selasa, mahkamah menetapkan 6 Disember untuk pengurusan kes selanjutnya.

Beliau memaklumkan bahawa kesemua defendan memfailkan pernyataan pembelaan.

1MDB dan tiga subsidiarinya 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited sebagai plaintif, memfailkan writ saman pada 7 Mei menamakan Riza Shahriz dan dua syarikatnya, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited, sebagai defendan pertama hingga ketiga dan firma guaman yang berpangkalan di New York, Shearman and Sterling sebagai defendan keempat.

Dalam writ saman itu, syarikat berkenaan mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Shahriz serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira AS$250 juta (RM1 bilion) daripada 1MDB dan tiga subsidiarinya, yang didakwa disalah guna apabila defendan menggunakan dana tersebut untuk kepentingan peribadi dan untuk kepentingan rakan sekutu mereka, termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai harta tanah.

Syarikat-syarikat tersebut mendakwa Riza Shahriz, yang mengendalikan dua syarikat Red Granite, semestinya mengetahui bahawa wang yang berpunca daripada 1MDB disalahgunakan untuk kepentingan mereka.

Oleh itu, plantif memohon perisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab atas salah guna dana itu dan penggunaan dana yang tidak adil serta memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram