Pendapatan terjejas, penduduk Pantai Puteri mahu isu hakisan pantai diselesaikan


  • Massa
  • Khamis, 11 Nov 2021

HAKISAN yang berlaku di Pantai Puteri menyebabkan pendapatan mereka merosot sehingga 60 peratus. — Facebook

RATA-RATA penduduk di sekitar Pantai Puteri, Melaka berharap masalah hakisan pantai yang telah berlarutan sejak sekian lama dapat diselesaikan oleh kerajaan baharu yang akan dipilih para 20 November ini.

Majoriti penduduknya yang merupakan komuniti nelayan berkata isu hakisan itu menyebabkan pendapatan mereka merosot sehingga 60 peratus dan demi kelangsungan hidup, mereka mahu masalah itu segera diselesaikan.

Rozali Kadir, 50, berkata pendapatan hasil laut yang diperolehnya sebelum ini boleh mencecah RM2,000 sebulan, namun kini ia merosot kepada sekitar RM800 sebulan, kerana dia tidak lagi dapat turun ke laut berikutan masalah berkenaan.

Pandangan sama juga disokong Khairul Wahab, 47, yang berkata sebelum ini pernah ada cadangan untuk penahan ombak atau lagun dibina di sepanjang perkampungan nelayan, namun ia tidak menjadi kenyataan.

"Kami susah nak tolak bot ke laut, ombak selalu tinggi dan hakisan juga menyebabkan pangkin nelayan rosak," katanya.

Bagi Sarip Arshad, 66, pula beliau mahukan supaya kerajaan baharu menyalurkan peruntukan untuk komuniti nelayan menaik taraf pangkin atau bangsal, yang menjadi tempat mereka berkumpul untuk membaiki pukat.

Selain menjadi pusat pendaratan ikan, Pantai Puteri sepanjang 2.5 kilometer yang terletak kira-kira 12 kilometer dari bandar raya Melaka dalam daerah Melaka Tengah itu juga menjadi lokasi tumpuan pengunjung bagi mendapatkan produk seperti belacan dan cencaluk.

Kini kawasan yang terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor itu sibuk dengan aktiviti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Tuminah Kadi mewakili Barisan Nasional (BN), penyandang Datuk Nor Azman Hassan mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Ridzwan Mustafa yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Nor Azman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menang di kawasan itu atas tiket BN sebelum dipecat dari UMNO selepas menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Pada PRU14, Nor Azman menang dengan majoriti tipis 772 undi menewaskan calon PH, Juhari Osman dan calon PAS, Abdul Halim Maidin.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November 2021. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram