Peluang 'pekerja pejabat' ceburi perniagaan tanaman cili


  • Bizz
  • Isnin, 08 Nov 2021

GRASCILI mengalu-alukan pembabitan 'pekerja pejabat' ceburi penanaman cili. — Gambar hiasan

GRASICILI Plt, syarikat pengusaha tanaman cili berskala besar membuka peluang kepada golongan yang bekerja di pejabat dan kalangan profesional yang berminat untuk terlibat dalam perusahaan penanaman cili melalui usaha sama secara maya.

Pengasas GrasiCili, Munir Ashim Abdullah berkata, melalui model ‘Virtual Contract Farming (VCF)’, pihaknya memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menceburi bidang pertanian secara maya tanpa mereka perlu turun untuk bekerja di ladang.

“Menggunakan model VCF, Grasicili memberi peluang kepada mereka menceburi bidang penanaman cili yang mana pemantauan dan perancangan dibuat oleh pihak syarikat daripada proses pembangunan hingga ke penjualan hasil,” katanya.

Munir Ashim berkata, VCF membolehkan peserta untuk memantau tanaman mereka menggunakan telefon pintar kerana setiap ladang cili GrasiCili dilengkapi dengan sistem pemantauan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dron.

“Malah jika ada kelapangan peserta juga dialu-alukan untuk untuk bekerja di ladang mereka dan akan diberikan elaun oleh GrasiCili,” katanya.

Beliau berkata, model VCF itu akan membolehkan mereka yang berminat untuk melabur dalam bidang pertanian namun mempunyai masa yang terhad turun ke ladang, untuk terbabit sama dalam membangunkan industri tersebut.

“Pasaran cili di Malaysia kini bergantung sehingga 70 peratus kepada cili import dan pelaksanaan model seperti ini ini akan membolehkan mereka yang mempunyai modal untuk terbabit sama dalam menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, model VCF telah menarik seramai lebih 50 peserta yang mana modal permulaan adalah sekitar RM20,000 bagi setiap 1,000 polybeg cili dengan hasil pulangan pelaburan dijangka dapat dicapai dalam masa setahun.

“Konsep ini telah menarik ramai anak muda kerana ia membuka peluang pelaburan yang menarik iaitu keuntungan antara 25 ke 40 peratus bagi setiap hasil tuaian dengan harga cili adalah terjamin sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

Munir Ashim berkata, selain VCF, syarikat GrasiCili kini menguruskan model penanaman tanaman cili berskala besar lain iaitu ‘Comprehensive Contract Farming’ (CCF) di Sarawak, Sabah dan beberapa negeri di semenanjung Malaysia dengan jumlah keluasan ladang lebih 200 hektar.

Menurutnya, model CCF memberi peluang kepada para petani kecil bergabung menjadi kluster dengan memberi impak kepada pasaran hasil pertanian mereka melalui bimbingan daripada GrasiCili dan kemudahan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Beberapa kerajaan negeri dan universiti termasuk di Selangor, Johor, Melaka, Pahang dan Terengganu juga telah menunjukkan berminat dengan model yang diperkenalkan GrasiCili kerana diyakini mampu membantu para petani meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan kos pengurusan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa depan, GrasiCili menyasar untuk menguruskan lebih 1,200 hektar kawasan tanaman menjelang 2024 melalui kedua-dua model tersebut dengan menawarkan peluang pekerjaan sepenuhnya kepada warga tempatan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram