Muda tolak 'katak' dalam PH, enggan tanding PRN Melaka


  • Politik
  • Sabtu, 06 Nov 2021

SYED Saddiq memaklumkan pendirian PH menyenaraikan dua bekas calon BN menyebabkan Muda menarik diri. — Bernama

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengambil sikap berkecuali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung 20 November kelak.

Menurut Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, keputusan tersebut diambil berikutan tindakan Pakatan Harapan (PH) mencalonkan kembali dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor).

PRN Melaka terpaksa diadakan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan selepas Idris dan Nor Azman bersama Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) serta Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Jelas Syed Saddiq, rundingan Muda untuk menyertai PRN Melaka bersama PH bermula sejak dua minggu lepas dan banyak perkara dibincangkan untuk memastikan niat parti itu menyatupadukan pembangkang tercapai.

Menurutnya, pendirian PH untuk terus mencalonkan pemimpin politik yang menjadi punca PRN Melaka diadakan menyebabkan parti berkenaan mengambil pendirian untuk tidak bersama dengan PH.

"Kita buat pendirian untuk berkecuali dalam pilihan raya ini dan fokus kita adalah kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta fokus untuk memantapkan politik khidmat," katanya pada sidang akhbar secara dalam talian pada Sabtu.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengumumkan Idris akan bertanding di kerusi Asahan iaitu kerusi tradisi PKR, manakala Nor Azman kekal di Pantai Kundor iaitu kerusi tradisi Parti Amanah Negara (Amanah).

Muda yang ditubuhkan Syed Saddiq pada 17 September tahun lalu belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai parti politik. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN Melaka, MUDA, rundingan, politik, PH