TINDAKAN mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika pandemik menunjukkan bahawa pemimpin mengutamakan politik berbanding keselamatan rakyat, kata Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Penganalisis politik itu hairan apabila PRN perlu diadakan ketika Sarawak masih merekodkan kadar jangkitan dan kematian tinggi akibat wabak Covid-19.
Mohammad Agus berkata, sekiranya PRN Sarawak dilaksanakan, maka prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan perlulah tidak ketat sama seperti di Melaka.
"Dalam kes Melaka, PRN terpaksa diadakan kerana kerajaan hilang majoriti dan DUN (Dewan Undangan Negeri) dibubarkan, tetapi di Sarawak mengapa memaksa diadakan PRN sedangkan kita ada pilihan untuk menunggunya sampai Februari 2022.
"Adakah kerana bimbang kesan dari Undi 18 atau ada sebab lain? Inilah yang saya belum faham," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Annuar Rapaee berkata, beliau menjangkakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak akan diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Disember ini.
Beliau berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Proklamasi Darurat di Sarawak ditamatkan memberi laluan kepada pembubaran DUN Sarawak, sekali gus menamatkan penantian untuk PRN12 yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Pada masa sama, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Jumaat berkata, DUN Sarawak sudah secara rasmi bubar berkuatkuasa 3 November.
Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata, rakyat marah dengan pelaksanaan PRN Sabah yang telah menyaksikan penularan Covid-19, sekali gus mengakibatkan rakyat dikurung lama.
Beliau berkata, rakyat juga marah dengan pelaksanaan PRN Melaka kerana ia boleh dielakkan sekiranya DUN tidak dibubarkan.
Tambahan pula, katanya, PRN Melaka juga boleh dielakkan sekiranya Yang di-Pertua Negeri melantik pemimpin dari parti yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi ketua menteri.
"Rakyat marah kerana takut Covid-19 merebak lagi. Rakyat baharu bebas daripada lockdown (perintah berkurung) dan rakyat tidak mahu dikenakan lockdown lagi sekiranya Covid-19 merebak setelah PRN berlangsung.
"Dalam kemarahan rakyat itu, tiba-tiba hari ini rakyat mendapat tahu PRN Sarawak hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari lagi. Mengapa begitu terdesak kerajaan Sarawak memohon supaya proklamasi darurat ditarik balik?
"Apakah kerajaan negeri tidak stabil? Inilah pertanyaan yang rakyat timbulkan. Apapun keluhannya, syarat Perlembagaan ialah PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari," katanya kesal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram