TEKA-TEKI berhubung nasib bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhirnya terjawab apabila kedua-duanya diumum sebagai calon Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Idris akan bertanding di kerusi Asahan iaitu kerusi tradisi PKR, manakala Nor Azman kekal di Pantai Kundor, kerusi tradisi Parti Amanah.
Pada masa sama, Anwar berkata, Idris dan Nor Azman masing-masing diterima sebagai ahli PKR serta Amanah.
"Bagi kami, mereka menyertai (parti) kerana itu sudah menjadi persefahaman... yang penting sekarang ini adalah mereka mewakili Pakatan Harapan," katanya pada majlis pengumuman calon PH secara maya pada Sabtu.
Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu turut mengesahkan keahlian calon Amanah berkenaan dan menegaskan kepentingan PH bekerja sebagai satu pasukan dalam berdepan PRN Melaka.
"Seperti yang saya sebut tadi, kita terima (Idris dan Nor Azman) sebagai anggota dalam parti dan pentingnya kita kena bekerja sebagai satu pasukan, itu yang penting. Kita nanti mulai penamaan calon, orang boleh melihat bagaimana kita pamerkan persaudaraan antara kita, itu yang paling penting," ujarnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram