PRN Melaka: BN guna pendekatan baharu


  • Politik
  • Sabtu, 06 Nov 2021

BN akan memberi peluang kepada Adun yang digugurkan bertanding pada PRU akan datang.

PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang digugurkan atau tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, akan dipertimbang bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah yang diambil BN ketika ini adalah satu pendekatan baharu dan berani dalam memenuhi kriteria WALI (winnable, acceptable and likeable) yang diutarakan sebelum ini.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang digugurkan sudah memberi khidmat cemerlang kepada parti selama dua dan tiga penggal atau lebih. Kepada mereka ini, parti mengucapkan ribuan terima kasih dan diharap membantu calon baharu.

"Kepada mereka yang tidak dicalonkan, insya-ALLAH mereka akan dipertimbangkan pada masa depan atau bagi kerusi Parlimen pada PRU nanti. Apa yang lebih utama ialah memenangkan parti yang menaungi kita selama ini,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Bernama pada Sabtu melaporkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu, di samping mengekalkan empat penyandang untuk PRN Melaka.

Ujar beliau, empat penyandang berkenaan ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Datuk Zaidi Attan.

Tarikh mengundi PRN Melaka ditetapkan pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PRN Melaka, calon, BN, muka baharu, gugur