Kesatuan dalam perbezaan jadi kekuatan Keluarga Malaysia


  • Primer
  • Khamis, 04 Nov 2021

ISMAIL Sabri turut berkongsi tiga keping gambar ketika beliau berkunjung ke rumah bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran. — Facebook/Ismail Sabri

KEHEBATAN sebenar Keluarga Malaysia adalah kesatuan dalam perbezaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu dinyatakan beliau merujuk kepada suasana perayaan Deepavali yang disambut penganut beragama Hindu pada Khamis.

Katanya, sambutan tahun ini memperlihatkan rakyat berbilang bangsa bersama-sama meraikannya dengan penuh harmoni

"Seronok melihat tetamu-tetamu yang berbilang bangsa sama-sama meraikan perayaan ini dengan penuh harmoni.

"Mungkin di negara lain suasana seperti ini sukar dilihat. Namun ini adalah perkara biasa di Malaysia. Kesatuan dalam perbezaan, itulah kehebatan sebenar Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di akaun rasmi laman sosial Facebook pada Khamis.

Dalam hantaran itu, Ismail turut berkongsi tiga keping gambar ketika beliau berkunjung ke rumah bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran pada Khamis.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram