Syarikat pembinaan terlibat tragedi kren SUKE didenda RM45,000


SITUASI ketika insiden struktur besi kren jatuh di tapak pembinaan lebuhraya SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada Mac lalu. — Bernama

SYARIKAT pembinaan yang bertanggungjawab terhadap tragedi di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Mac lalu didenda RM45,000 kerana gagal untuk memastikan keselamatan pengendalian ‘launching gantry’ sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut tiga nyawa.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid pada Rabu menjatuhkan hukuman denda itu kepada Zhongshi International Sdn Bhd selepas wakilnya, Pengurus Sumber Manusia, Sim Li En, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja.

Ia gagal untuk memastikan pengendalian ‘launching gantry’ yang selamat semasa kerja-kerja penyenggaraan sehingga menyebabkan kemalangan kepada tiga pekerja warga China iaitu Wu Tongzheng, Ding Kunfu dan Jiang Jinbao.

Kesalahan dilakukan di 3PT39 sehingga 3PT41, Pakej CA3, Projek Penswastaan SUKE, Jalan Alam Damai, Kuala Lumpur, lebih kurang jam 8.45 pagi pada 22 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 15(1) Akta keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 Akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, OKS yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman denda pada kadar rendah dengan alasan syarikatnya telah membuat langkah-langkah untuk mengelakkan kemalangan berlaku dan memastikan ia tidak berulang.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Rahim Sabri mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman maksimum terhadap syarikat itu.

"Kes ini merupakan kemalangan berprofil tinggi sehingga mendapat liputan media selain telah melibatkan kematian tiga nyawa," katanya.

Dalam kejadian tersebut, tiga individu maut manakala seorang lelaki parah dalam kejadian struktur besi kren ‘launcher’ terjatuh di tapak pembinaan SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram