PRN Melaka: DAP bakal gugur muka lama, ketengah calon baharu,


  • Politik
  • Rabu, 03 Nov 2021

DAP akan bertanding di lapan kerusi pada PRN Melaka 20 November ini.

DAP Melaka akan mengetengahkan lebih lima muka baharu sebagai calon dan tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan kerusi membabitkan penyandangnya yang mungkin digugurkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Setiausaha DAP negeri, Damien Yeo Shen Li berkata, bagaimanapun ia akan ditentukan oleh pimpinan DAP Pusat.

"Ada kemungkinan untuk penyandang digugurkan, mungkin ada yang tidak mahu bertanding. Semua itu adalah kemungkinan... tetapi apa-apa pun kita serahkan kepada pucuk pimpinan DAP Pusat untuk tentukan.

Dan sudah tentu pada masa ini Pengkalan Batu adalah kerusi kosong ... tetapi ada kemungkinan ada penyandang (dari kerusi lain) yang akan pergi ke sana bertanding,” katanya yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada sidang media pada Rabu.

Beliau berkata, senarai berkenaan akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selepas Deepavali dan akan diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Yeo juga memaklumkan, sebanyak 18 borang penamaan calon telah dibeli pihaknya bagi PRN berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DAP menang di lapan kerusi yang ditandinginya iaitu Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir, dan Bemban.

Pada Mac tahun lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee bertindak keluar DAP dan menyatakan sokongannya terhadap Perikatan Nasional (PN), menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) pimpinan Ketua Menteri, Adly Zahari tumbang.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Oktober lalu dilaporkan berkata, daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 11 kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) sembilan dan DAP lapan kerusi.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram